Kuala Lumpur Post

Nation

Mahkamah tolak permohonan Muhyiddin dapatkan pasport secara kekal

KUALA LUMPUR — Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini gagal dalam permohonannya  untuk mendapatkan pasport antarabangsanya secara kekal.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi semasa menolak permohonan Muhyiddin berkata adalah pramatang untuk mahkamah mengubah syarat jaminan kerana Ahli Parlimen Pagoh itu juga masih menghadapi tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram.

“Selepas meneliti dan mendengar hujahan pihak-pihak terlibat, mahkamah berpendapat tertuduh (Muhyiddin) perlu mengemukakan alasan yang kukuh melainkan untuk tujuan cuti dan rawatan,” kata hakim itu sambil menambah Muhyiddin boleh memohon pasport sementara dan beliau tidak akan diprejudis.

Pada 16 Okt, Muhyiddin memfailkan permohonan itu atas alasan beliau memerlukan pasport untuk percutian keluarga di London dan pemeriksaan kesihatan di Singapura pada akhir tahun ini.

Peguam Datuk Seri K. Kumaraendran yang mewakili ahli politik itu kemudian memohon agar pasport itu dikembalikan hari ini kerana anak guamnya akan memulakan percutiannya pada 15 Dis.

Memandangkan permohonan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, mahkamah kemudian membenarkan pasport itu dikembalikan buat sementara kepada Muhyiddin hari ini dan mengarahkan dokumen perjalanan itu dikembalikan kepada mahkamah sebelum 15 Jan 2024.

Muhyiddin hadir di mahkamah hari ini.

Pada 2 Okt lepas, Muhyiddin memfailkan permohonan supaya beliau dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Muhyiddin berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas terhadap satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Pada 15 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa.

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada hari sama terhadap keputusan itu dan pendengaran rayuan ditetapkan pada 28 dan 29 Feb 2024.

Tags: , ,