Kuala Lumpur Post

Nation

Mahkamah tolak rayuan Najib untuk dapatkan dokumen bank

PUTRAJAYA — Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Datuk Seri Najib Razak, untuk mendapatkan 19 dokumen perbankan syarikat dipercayai berkaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali Jho Low dan keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Bekas Perdana Menteri itu memohon dokumen untuk digunakan dalam perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapinya.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan, menetapkan keputusan itu secara sebulat suara.

Pada 25 Oktober lalu, peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berhujah permohonan dokumen membabitkan syarikat yang dikawal oleh Jho Low dan keluarga Zeti ada pada pihak pendakwaan dan pihak berkuasa Malaysia.

Pihak berkuasa Singapura yang didakwa menyiasat skandal kewangan 1MDB di negara itu memberikan dokumen berkenaan kepada pihak berkuasa Malaysia termasuk Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, berkata dokumen itu adalah pramatang dan tidak relevan dengan perbicaraan Najib, selain ia hanya boleh dimohon selepas perintah membela diri.

Katanya, tidak dinafikan kewujudan dokumen itu serta bebanan terletak pada pihak pembelaan untuk menunjukkan bahawa permohonan mereka adalah berdasarkan bukti yang boleh diterima dan bukannya keterangan bersifat dengar cakap.

Pada 12 Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, menolak dua permohonan Najib yang meminta pendakwaan perbicaraan kes 1MDB mendedahkan dokumen perbankan dikaitkan dengan keluarga Zeti selepas dikatakan menerima wang daripada Jho Low.

Najib memfailkan permohonan pada 24 Mac tahun lalu untuk meminta pendakwaan memberikan penyata perbankan daripada beberapa syarikat, termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd dan Central Holdings Ltd.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memfailkan permohonan kedua pada 7 April tahun lalu untuk mendapatkan perjanjian penyelesaian sulit antara kerajaan dan Goldman Sachs Group pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik berhubung telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.

Bekas Perdana Menteri terbabit berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama, lapor BH Online.

Tags: , ,