Social
154

Majikan dera pekerja ditahan

Seremban – Polis menahan seorang majikan kerana disyaki mendera pekerjanya yang merupakan lelaki warga India di sebuah premis perniagaan di Jalan Dato Pathmanaban, Port Dickson hari Isnin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata suspek lelaki berusia 39 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (D3) Bukit Aman dan dibantu pasukan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson pada kira-kira 7 malam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pekerja berusia 27 tahun itu mendakwa tidak dibayar gaji sepanjang tempoh setahun enam bulan bekerja di premis tersebut selain dipukul dan pasportnya dipegang oleh majikan.

“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa juga mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian telinga, luka di jari dan pergelangan tangan,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Aidi Sham berkata pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menjumpai pasport milik mangsa dan polis merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, rotan kayu serta tali pinggang yang disyaki digunakan untuk memukul mangsa.

Beliau berkata suspek ditahan reman selama lima hari bermula hari ini manakala mangsa dibenarkan mendapat perintah perlindungan sementara selama 21 hari dan akan ditempatkan di Rumah Perlindungan di Melaka.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu