Nation
20K

Majikan paksa pekerja hadir ke tempat kerja boleh dikenakan tindakan

Kuala Lumpur – Majikan yang memaksa pekerja hadir ke tempat kerja walaupun bukan melibatkan perkhidmatan penting perlu dilapor segera kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM), kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pekerja yang memakai gelang kuarantin juga tidak boleh dipaksa hadir ke tempat kerja dan jika berlaku, perkara itu perlu dilaporkan di Hotline KSM di talian 03-88862409, 03-88862352 dan 03-88889111 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Pekerja diminta lapor jika majikan langgar syarat kapasiti 60 peratus yang dibenarkan. Jika ada yang memakai gelang pink diarahkan bekerja, saya harap ia dilaporkan kepada KSM supaya dapat diambil tindakan dan semua pihak perlu bekerjasama memastikan tidak ada pelanggaran SOP.

“Kalau majikan yang paksa pekerja berkenaan untuk bekerja, majikan itu sepatutnya dikenakan tindakan namun saya faham, pekerja tiada pilihan kerana kemungkinan mereka ini diberi amaran, jika tidak hadir bekerja kemungkinan akan dipecat atau tidak dibayar gaji,” katanya pada sidang media selepas melawat sekatan jalan raya di Jalan Ampang, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata bagaimanapun ada kes-kes sedemikian telah diambil tindakan serta diarahkan tutup premis dan dikompaun.

“Insya-Allah, jika semua masyarakat bekerjasama dalam hal ini (mematuhi SOP dan arahan sekatan pergerakan penuh) bersama-sama kita semua dapat melandaikan kes COVID-19,” katanya.

SeIain itu, Ismail Sabri berkata pihaknya juga menerima banyak aduan berkaitan premis perniagaan dan perkilangan yang bukan dikategorikan perkhidmatan penting beroperasi dalam tempoh sekatan pergerakan penuh.

“Kita dengar banyak rungutan orang ramai termasuklah di media-media sosial dan sebagainya mengatakan premis berkenaan dibuka dan tetap beroperasi walaupun ia dilarang.

“Oleh itu, semalam Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah meminta untuk memperketatkan penguatkuasaannya,” katanya.

Ismail Sabri berkata orang ramai boleh membuat aduan di Malaysian Government Call Centre di talian 03-80008000.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah. — Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu