Social
399

Majikan, pemandu bas kilang dikompaun

Kuala Lumpur –  Tindakan degil majikan membenarkan pekerja menaiki bas melebihi kapasiti dibenarkan mengundang padah apabila pihak terbabit dikenakan kompaun RM10,000 hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menahan sebuah bas membawa 34 pekerja tapak binaan warga Bangladesh di Jalan Tun H S Lee pada 7.30 pagi.

“Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan, semua pengangkutan awam hanya dibenarkan membawa 50 peratus jumlah penumpang dari kapasiti penuh kenderaan itu.

“Dalam kes ini, kapasiti bas berkenaan adalah 44 penumpang. Tindakan majikan membenarkan 34 penumpang berkenaan atau 77 peratus daripada jumlah kapasiti dibenarkan adalah satu kesalahan pelanggaran SOP PKP.

“Justeru itu, kami mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada majikan serta kompaun RM2,000 kepada pemandu bas tempatan berusia 40-an atas kesalahan itu,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Tun H S Lee di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, pihaknya tidak menafikan ada lagi segelintir majikan yang degil dan enggan mematuhi SOP PKP ditetapkan pihak berkuasa.

“Majikan tahu mengenai SOP ditetapkan, namun masih berdegil dan enggan patuh kerana mungkin beranggapan mereka boleh mengelak dari tindakan pihak berkuasa.

“Namun, diingatkan bahawa pihak polis akan sentiasa melakukan pemeriksaan terutama secara mengejut bagi memastikan semua pihak termasuk majikan mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

Mengulas mengenai tahap kepatuhan orang ramai terhadap SOP PKP, beliau berkata, kadar pematuhan di daerah Dang Wangi amat memuaskan.

“Boleh dikatakan 99 peratus kadar pematuhan di daerah ini dengan hanya 102 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memakai pelitup muka, gagal mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera serta jumlah penumpang melebihi kapasiti sejak 1 Jun lalu hingga hari ini.

“Daripada jumlah itu, hanya dua kompaun termasuk terhadap kesalahan melebihi kapasiti penumpang bas berkenaan yang dikeluarkan setakat ini.

“Kerjasama orang ramai mematuhi SOP adalah penting bagi membolehkan kita melandaikan lekuk penularan Covid-19 dalam komuniti,” katanya. — Harian Metro

Tags: , , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu