Nation
1K

Majlis Pekerjaan Negara wujudkan 320,000 peluang pekerjaan : Zafrul

Kuala Lumpur – Kerajaan menerusi inisiatif Majlis Pekerjaan Negara telah berjaya membantu mewujudkan sebanyak 320,000 peluang pekerjaan setakat ini, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menurutnya, majlis tersebut ditubuhkan dengan sasaran mewujudkan sejumlah 500,000 pekerjaan dan penempatan latihan kemahiran melalui kerjasama strategik agensi kerajaan serta pemain industri.

Malah, jelas beliau, dalam usaha membantu golongan sasaran mencari pekerjaan, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM2 bilion bagi program PenjanaKerjaya di bawah Belanjawan 2021 dengan PenjanaKerjaya 2.0 berjaya membantu lebih 141,000 orang mendapat pekerjaan.

“PenjanaKerjaya 3.0 pula diperkenalkan melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan beberapa penambahbaikan.

“Ini seperti mengurangkan had kelayakan gaji bagi program Malaysianisation dan pelonggaran tempoh kontrak penggajian bagi kategori pekerja berusia 50 tahun ke atas, golongan Orang Kurang Upaya dan bekas banduan,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-64 yang dikeluarkan pada Khamis.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan turut menyedari keperluan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro melunaskan pelbagai komitmen seperti bil-bil, sewa dan bayaran gaji pekerja.

Menyedari keadaan itu, katanya, pelbagai bantuan berterusan telah dan sedang dilaksanakan bagi menjamin kelangsungan serta melonjakkan kembali perniagaan mereka.

Ini termasuk peruntukan hampir RM20 bilion untuk Program Subsidi Upah dengan sejumlah RM15.6 bilion telah disalurkan setakat ini bagi memberi manfaat kepada lebih 330,000 majikan selain menyelamatkan 2.8 juta pekerja daripada kehilangan pekerjaan, kata beliau.

“PKS yang mengalami kekurangan pendapatan akibat COVID-19 akan diberi subsidi upah sebanyak RM600 sebulan untuk setiap pekerja yang dihadkan kepada 500 pekerja,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, bermula bulan ini juga, subsidi upah tersebut akan diperincikan dalam slip gaji setiap pekerja yang menerima kemudahan berkenaan.

Selain itu, mengulas isu seperti saiz pakej bantuan yang dibangkitkan pada mesyuarat khas Dewan Rakyat baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa kerajaan telah memperkenalkan sebanyak lapan pakej ekonomi bernilai RM530 bilion sejak tahun lepas, termasuk belanjawan terbesar dalam sejarah negara iaitu Belanjawan 2021 yang bernilai RM322.5 bilion.

“Bayangkan, walaupun ekonomi negara sedang gawat paling teruk sejak Perang Dunia Kedua, kerajaan masih komited dan mampu untuk meyediakan pakej bantuan yang keseluruhannya bernilai RM305 bilion atau 22.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ini merupakan antara kadar terbesar berbanding pakej-pakej rangsangan di negara lain seperti Indonesia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat,” katanya.

Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa kunci utama semua usaha pemulihan serta kejayaan menangani COVID-19 itu tetap bergantung kepada pencapaian tahap vaksinasi terbabit, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu