Nation
370

Majlis pengebumian, tahlil cetus kluster baharu

Kota Kinabalu – Tindakan menghadiri majlis pengebumian dan tahlil pada 29 Mei lepas di Kampung Kopi Blues di Tawau telah mencetuskan satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Kopi Blues yang direkodkan di Sabah semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata kes indeks merupakan seorang suri rumah dan anaknya dari Kampung Lorong Saddani, Batu 2 di Tawau yang disahkan positif COVID-19 pada Rabu lepas.

“Daripada 20 sampel yang telah diambil menerusi saringan kontak rapat dan kontak sosial, 10 sampel dikesan positif COVID-19 menjadikan jumlah kes kumulatif sebanyak 12 kes. Sementara itu, dua sampel didapati negatif manakala enam sampel masih menunggu keputusan.

“Siasatan awal mendapati semua kontak telah menghadiri perjumpaan di Kampung Kopi Blues, Batu 2, untuk majlis pengebumian dan tahlil,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Masidi, yang juga jurucakap COVID-19 negeri, berkata aktiviti pengesanan kontak rapat dan mengenal pasti punca jangkitan sedang giat dijalankan.

Beliau juga berkata Sabah mencatatkan 309 kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 65,330 kes dengan enam kematian.

Katanya daripada 309 jangkitan baharu itu, 143 kes adalah hasil saringan kontak rapat, 91 saringan kluster, 30 saringan bergejala, 26 saringan bersasar dan 19 daripada kes-kes lain. — Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu