Nation
84

MAJLIS PENYERAHAN HADIAH PROMOSI BAYAR DAN MENANG PTPK

Kuala Lumpur, 26 April 2021 – Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menyempurnakan Majlis Penyerahan Hadiah Promosi Bayar dan Menang Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) yang telah berlangsung pada 1 Oktober 2019 hingga 31 Disember 2019 yang lalu.

Walau bagaimanapun, program ini telah dilanjutkan selama tiga (3) bulan iaitu sehingga 31 Mac 2020 untuk memberikan peluang kepada lebih ramai para peminjam aktif PTPK untuk menyertai pertandingan ini.

Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan PTPK kepada peminjam yang telah melunaskan keseluruhan jumlah Pinjaman Latihan Kemahiran atau tunggakan pinjaman. Sepanjang enam (6) bulan promosi ini berlangsung, PTPK telah mencatatkan kutipan bayaran balik sebanyak RM46.38 juta.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4,857 buah akaun dengan jumlah bayaran balik sebanyak RM14.16 juta yang disenarai pendek layak untuk mengikuti sesi cabutan ini. Seramai 66 orang peminjam yang telah dipilih sebagai pemenang pelbagai hadiah menarik yang berjumlah lebih RM80,000.

Setiap peminjam hanya perlu memenuhi syarat penyertaan yang mudah iaitu dengan membuat pembayaran balik pinjaman minimum sebanyak RM1,000.00 dan masih mempunyai baki pinjaman selepas bayaran minimum dibuat untuk melayakkan mereka menyertai program ini.

Majlis Penyerahan ini dijadualkan pada tahun 2020 tetapi telah beberapa kali ditunda disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang mana sebarang bentuk acara yang melibatkan “mass gathering” tidak dibenarkan dan perlu melalui pematuhan SOP yang ketat.

Dengan komitmen yang telah diberikan oleh Menteri Sumber Manusia, majlis ini akhirnya dapat dilaksanakan pada hari ini.

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu