Nation
184

Majlis Senator sokong usaha kembalikan Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen

Kuala Lumpur – Majlis Senator Malaysia (MSM) mengambil pendirian positif untuk menyokong penuh usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk mengembalikan Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen di Malaysia.

Presidennya Datuk Seri Khairudin Samad dalam satu kenyataan berkata majlis itu berharap usaha-usaha untuk memperkenalkan semula Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen di Malaysia diterima baik oleh semua pihak dan berjaya direalisasikan.

Beliau merujuk kepada kenyataan Wan Junaidi berhubung Reformasi Parlimen serta Laporan Kajian Penyelidikan Mengembalikan Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen yang diterbitkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) dan Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM) hari ini.

“Selari dengan usaha untuk mengembalikan Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen, Laporan Kajian Penyelidikan Parlimen yang diterbitkan hari ini oleh BERSIH 2.0 dan REFORM adalah signifikan untuk memastikan ciri-ciri sebuah Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen adalah menepati piawaian antarabangsa dan pengalaman di beberapa institusi di negara-negara maju seperti United Kingdom, Australia dan Kanada yang perlu dijadikan panduan,” katanya.

Beliau berkata MSM menyokong elemen-elemen penting dalam kenyataan Wan Junaidi dan juga REFORM serta BERSIH, antaranya untuk memperkenalkan semula Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen bagi memberi kebebasan kepada Parlimen serta mengembalikan peruntukan berhubung perkhidmatan Parlimen dalam Perkara 65, Perlembagaan Persekutuan yang merupakan sumber kuasa bagi penggubalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

Selain itu, meminda peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan pelantikan Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat supaya mereka dilantik oleh sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang bebas dan dibentuk di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen.

“Elemen lain ialah memperkenalkan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen bertujuan untuk menjamin kebebasan perkhidmatan Parlimen dengan ciri-ciri penting termasuklah fungsi suruhanjaya yang teras dan jelas dinyatakan dalam akta, keahlian perlu dalam bilangan yang ganjil dan penubuhan beberapa jabatan di Parlimen dan peranan Ketua Pentadbir Parlimen, Setiausaha Dewan dan Setiausaha Jabatan secara jelas dikanunkan dalam akta.

“Nilai-nilai Perkhidmatan Parlimen harus didefinisikan sebagai ‘Nilai Falsafah penting dalam Perkhidmatan Parlimen’ atau Kod Tata Kelakuan, serta menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Pentadbiran dan Kewangan Parlimen bagi membantu suruhanjaya menjalankan peranannya,” katanya.

Khairudin berkata majlis itu juga menyokong elemen untuk menerapkan model pengurusan perbelanjaan dan penyediaan belanjawan secara kerjasama untuk memastikan autonomi kewangan Parlimen dan mempertimbangkan skim persaraan yang fleksibel kepada kakitangan perkhidmatan Parlimen yang setaraf dengan skim perkhidmatan awam, lapor Bernama.

Tags: ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu