Nation
676

Malaysia bukan negara sihat : Khairy

Kuala Lumpur – Malaysia dianggap sebagai negara bukan sihat memandangkan jumlah rakyat yang menghidapi penyakit jantung dan obesiti adalah tinggi, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, kesedaran aspek kesihatan dalam kalangan rakyat juga masih di tahap rendah.

“Kalau tanya saya sebagai menteri, adakah Malaysia negara sihat sekarang? Tidak. Kita antara negara kadar tertinggi dari segi obesiti, sakit jantung dan antara penyebab punca kematian COVID-19 di negara ini sebahagian besarnya daripada pesakit mengalami komobiditi atau kronik.

“Bayangkan di Malaysia seorang daripada dua rakyat obesiti termasuk diri saya, manakala seorang daripada empat rakyat Malaysia tidak amalkan kecergasan.

“Selain itu, seorang daripada 20 rakyat tidak mengamalkan pemakanan mengikut nutrisi yang betul.

“Mengikut statistik rasmi juga, setengah juta orang dewasa mengalami kemurungan. Saya percaya angka ini sebenarnya masih rendah daripada realitinya,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1, hari ini.

Susulan itu, dalam merealisasikan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), Khairy berkata, rakyat Malaysia perlu mengubah sendiri tingkah laku mereka dan meningkatkan kesedaran bagi melahirkan negara serta rakyat yang sihat secara sukarela tanpa mengharapkan kementeriannya atau kerajaan semata-mata.

Beliau berkata, aspek perubahan tingkah laku penting serta kesedaran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan kendiri menjadi initi pati ANMS.

“Kalau kita nak harapkan Kementerian Kesihatan saja untuk pantau prosedur operasi standard (SOP) dan keluarkan kompaun, memang tidak cukup tangan.

“Kita mahu negara berjaya dari segi pengurusan pandemik ini,” katanya sambil memberi contoh Jepun berjaya menguruskan pandemik menerusi tingkah laku tanpa perlu mengeluarkan kompaun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini melancarkan ANMS yang juga persediaan dan tindakan diambil bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia mendepani dan mengharungi fasa endemik COVID-19.

Agenda ANMS dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun iaitu mulai 2021 hingga 2030 dengan pelaksanaan dibahagikan kepada dua penggal iaitu penggal pertama bermula 2021 hingga 2025 dan penggal kedua bermula pada 2026 dan berakhir pada 2030.

Sementara itu, Khairy berkata, satu jawatankuasa ditubuhkan yang menghimpunkan semua kementerian terbabit bagi melaporkan langkah akan dilaksanakan untuk menzahirkan ANMS di peringkat kementerian.

Beliau berkata, selain mengambil kira faktor kesihatan diri rakyat, agenda itu juga membabitkan kesihatan kualiti pengudaraan bangunan baharu sebagai usaha mencegah COVID-19 yang boleh dijangkiti melalui udara, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu