Nation
382

Malaysia dijangka ke fasa endemik Covid-19 Oktober ini : Khairy

Putrajaya – Malaysia dijangka memasuki fasa endemik COVID-19 pada Oktober selaras dengan sasaran kerajaan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus populasi dewasa di negara ini mendapat vaksin pada bulan Oktober ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata bagaimanapun, masyarakat perlu menerima hakikat untuk hidup bersama virus itu meskipun negara berjaya mengawal pandemik COVID-19.

Beliau berkata demikian dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Chong Chee Keong.

Khairy berkata walaupun negara memasuki fasa endemik, rakyat masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan melakukan kawalan kendiri kerana langkah itu akan membolehkan pelbagai sektor dalam negara dibuka manakala kehidupan rakyat berfungsi seperti sedia kala dalam norma baharu.

Beliau berkata kerajaan akan mengumumkan beberapa langkah untuk memudahkan SOP sedia ada supaya tidak terlalu banyak, rumit serta jelas agar rakyat dapat mengamalkannya apabila negara memasuki fasa endemik.

“Ini konsisten dengan pendekatan negara yang sudah pun beralih dari pembendungan menyeluruh kepada fasa endemik dan satu norma baharu diperkenal untuk kita hidup secara selamat serta sihat walaupun virus ini masih lagi berada dalam kalangan kita,” katanya.

Khairy juga berkata walaupun kerajaan akan mengumumkan SOP yang dipermudah namun tiada rancangan untuk melonggarkan pemakaian wajib pelitup muka.

“Pemakaian wajib pelitup muka itu akan diteruskan. Kita sudah melihat pengalaman di negara lain yang menyaksikan mereka telah melonggarkan pemakaian wajib pelitup muka mereka namun dengan adanya varian baharu, mereka terpaksa memperkenalkan semula pemakaian wajib pelitup muka mereka.

“Di Malaysia, kita akan mengamalkan pendekatan yang berhati-hati dan kita kekal dengan pemakaian pelitup muka,” katanya.

Khairy berkata Kementerian Kesihatan akan meneruskan amalan kuarantin kendiri di rumah dan turut menasihati mereka yang diperintah menjalani kuarantin di rumah agar sentiasa peka dengan perkembangan kesihatan sendiri.

“Sekiranya dikesan positif COVID-19, kekal di rumah melainkan perlukan rawatan perubatan kecemasan.

“Apabila beralih ke fasa endemik, sangat penting (kita) ambil tanggungjawab kendiri ke atas kuarantin di rumah. Kalau tidak dapat patuh segala syarat untuk kuarantin di rumah dan kawalan kendiri, kita tidak akan dapat hidup bersama virus ini dengan selamat,” katanya.

Endemik merujuk kepada kejadian kes penyakit atau wabak yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan atau daerah tertentu pada kadar rendah dan stabil.

Di Malaysia, contoh penyakit endemik ialah demam denggi, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu