Nation
264
0

Malaysia jangka pampasan kepada Singapura tidak melebihi S$270 juta

Kuala Lumpur – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia berpandangan bahawa jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada Singapura susulan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura adalah jauh lebih rendah daripada S$270 juta.

Katanya, Menteri Pengangkutan Singapura Ong Ye Kung telah memaklumkan parlimen republik itu bahawa S$270 juta tersebut mengandungi beberapa kompenen seperti kos konsultan, kos tenaga kerja dan kos-kos lain.

“Beliau juga menyatakan pampasan itu tidak termasuk kos tanah dan kita difahamkan kerajaan Singapura telah membeli beberapa bidang tanah untuk melaksanakan projek ini.

“Oleh itu, kita yakin kos pampasannya adalah jauh lebih rendah daripada S$270 juta, apa pun perkara ini belum muktamad dan akan dibincangkan dalam sedikit masa lagi,” katanya ketika muncul di rancangan Agenda Awani malam tadi dengan tajuk “Penjelasan Pembatalan Projek HSR KL-Singapura”.

Pada 1 Januari lepas, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan HSR sejauh 350 kilometer setelah gagal mencapai sebarang persetujuan menjelang tarikh akhir 31 Disember 2020.

Perjanjian Dua Hala yang ditandatangani dengan Singapura pada 13 Disember 2016 menekankan hasrat untuk menggalakkan integrasi ekonomi yang lebih rapat antara dua negara.

HSR dicadangkan pada 2010 sebagai antara inisiatif Program Transformasi Ekonomi dan kemudiannya ditangguhkan pada Mei 2018 selepas pilihan raya umum ke-14 berikutan kajian semula terhadap beberapa komitmen pelaburan utama kerajaan.

Mustapa dalam catatan Facebook beliau berkata jumlah pampasan bagi pembatalan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura tidak boleh didedahkan kerana ia terletak di bawah Perjanjian Dua Hala dan kedua-dua negara terikat dengan klausa kerahsiaan.

Bagaimanapun, semasa penjelasan dalam siaran secara langsung itu, beliau memberi jaminan kerajaan akan memaklumkan kepada rakyat mengenai jumlah pampasan sebaik sahaja ia dimuktamadkan.

Selain itu, menurut Mustapa, kerajaan bakal mendapat penjimatan sebanyak 30 peratus jika tidak menggunakan khidmat Asset Company (AssetCo).

“Kerajaan Malaysia memberi jaminan supaya sejumlah wang disediakan sebagai gerenti kepada syarikat AssetCo untuk tempoh 30 tahun dengan jumlah jaminan adalah RM60 bilion iaitu kira-kita RM2 bilion setahun.

“Dengan model AssetCo ini, jaminan bermakna kalau bayaran kepada AssetCo tidak sampai 60 bilion maka kerajaan Malaysia perlu bayar syarikat ini, itu yang dimaksudkan jaminan.

“(Bermakna) Kerajaan perlu buat jaminan untuk tempoh 60 tahun, bayar AssetCo RM60 billion dan sekiranya angka tidak sampai RM60 bilion maka kerajaan perlu menggunakan wang lain daripada hasil lain-lain untuk menampung kekurangan tersebut, ini juga merupakan penjimatan.

“Diambil kira semua sekali iaitu reka bentuk, stesen dan lain-lain dengan kaedah kita tidak ada AssetCo ini, kesemua sekali anggaran pengurangan kos adalah 30 peratus, satu angka yang amat besar dalam mana-mana keadaan sekalipun,”katanya.

Malaysia masih berminat untuk meneruskan projek kereta api laju yang dilihat mampu memberikan limpahan manfaat kepada ekonomi negara, namun situasi ekonomi pada masa ini yang terkesan akibat Covid-19 memaksa model pelaksanaan itu dikaji semula.

“Ada kajian yang dibuat iaitu dalam tempoh 50 tahun faedah ekonominya ialah kira-kira RM300 bilion kepada negara. Kita tahu faedahnya cukup besar, itu sebabnya kita masih lagi minat melaksanakan projek ini.

“Cumanya model atau cara dan kaedah itu kita rasa dalam keadaan Covid-19 ini, adakah sesuai, (itu sebabnya) kita lihat semula, itu asasnya,” katanya.  —  Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu