Kuala Lumpur Post

Nation

Malaysia, Jepun bakal muktamad MoC penghantaran pekerja mahir

PUTRAJAYA — Memorandum Kerjasama (MoC) berhubung penghantaran pekerja mahir Malaysia dan sektor tertentu untuk bekerja di Jepun akan dimuktamadkan oleh kedua-dua negara, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata ia antara inti pati utama dalam rangka lawatan kerjanya ke Jepun bermula esok (25 Mei) hingga 28 Mei depan, bersempena lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke negara itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Saravanan berkata beliau akan menandatangani MoC itu bersama-sama dengan Menteri Kehakiman Jepun Yoshihisa Furukawa, selain melibatkan penyertaan Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan serta Agensi Polis Negara Jepun.

“Matlamat MoC adalah untuk membantu memartabatkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara bagi melahirkan tenaga kerja mahir dalam kalangan pekerja tempatan.

“MoC itu juga memberi peluang kepada rakyat tempatan memperoleh pengalaman dan kepakaran di Jepun untuk satu tempoh masa dan apabila mereka pulang kelak, mereka dapat menyumbang kepada industri berkaitan di Malaysia,” kata Saravanan.

MoC berkenaan menggariskan 14 sektor penghantaran pekerja mahir merangkumi pelbagai industri iaitu perkakasan dan bahagian mesin, penerbangan, pembaikan dan penyelenggaraan automobil serta jentera perindustrian.

Saravanan berkata MoC tersebut juga selaras dengan hasrat kerajaan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030) iaitu mencapai sasaran 35 peratus pekerja berkemahiran tinggi dalam guna tenaga negara.

Dalam rangka lawatan kerja itu, Saravanan juga dijadual melawat Cyberdyne Studio untuk melihat teknologi neuro-robotik tercanggih, Robot Suit HAL iaitu robot cyborg pertama di dunia berkaitan pemulihan dan rehabilitasi.

“Ia akan menjadi penanda aras untuk penubuhan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan yang bakal dibina di Perak,” kata Saravanan, lapor Bernama.

Tags: , ,