KUALA LUMPUR — Malaysia berpegang kepada prinsip kesaksamaan dan solidariti untuk dilaksanakan dalam semakan Peraturan-Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) serta Perjanjian Pandemik, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Mengakui berdepan cabaran dalam mencapai konsensus mengenai Perjanjian Pandemik dan pindaan terhadap IHR, beliau berkata, langkah mengutamakan hak kepada kesihatan memerlukan usaha kolektif bagi menangani ketaksamaan dan meningkatkan kesiapsiagaan untuk kecemasan masa depan.
“Saya ingin tegaskan bahawa kesaksamaan perlu menyokong sebarang perjanjian ke arah penambahbaikan lebih bermakna dalam usaha mencegah pandemik, kesiapsiagaan dan respons secara kolektif. Kolaborasi menjadi kunci untuk melangkah ke hadapan dan mengimbangi sumber dengan matlamat kesihatan awam global adalah penting.
“Hanya selepas itu, barulah kita boleh menangani jurang dan ketaksamaan dalam usaha mencegah serta memberikan tindak balas terhadap pandemik dan kecemasan kesihatan lain, sambil bersama melindungi hak kedaulatan negara. Saya yakin kita mampu melakukan perubahan transformatif dengan hasil berkekalan dan menjadi legasi.”
Anwar berkata demikian ketika berucap sempena Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-77 di Geneva semalam melalui video dikongsikan Kementerian Kesihatan.
Beliau turut berkongsi komitmen Malaysia untuk memastikan setiap individu tanpa mengira latar belakang atau kedudukan sosioekonomi mempunyai akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti dan penting sepanjang hidup mereka.
Ketika membicarakan hak sejagat kepada kesihatan, Anwar turut menggesa komuniti antarabangsa mengambil lebih banyak tindakan menghentikan kekejaman dan memastikan akauntabiliti terus bergerak, susulan malapetaka kemanusiaan dihadapi rakyat Palestin di Gaza.
“Mereka bukan hanya berdepan kebuluran, malnutrisi dan penyakit, tetapi juga hospital mereka dibom rejim Israel, manakala pekerja perubatan dan sukarelawan kemanusiaan dibunuh secara rambang.”
Pada 24 Mei lalu, Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad menegaskan penglibatan Malaysia dalam dua platform rundingan antarabangsa bagi melindungi kepentingan kesihatan awam negara.
Beliau merujuk langkah Badan Perundingan Antara Kerajaan (INB) yang menggubal instrumen antarabangsa dikenali Perjanjian Pandemik dan Kumpulan Kerja mengenai Pindaan kepada IHR (WGIHR) kerana melakukan semakan terhadap IHR 2005 secara bersasar.