Nation
156

Malaysia melangkah ke hadapan hapuskan Hepatitis C menjelang 2030

Kuala Lumpur – Malaysia terus melangkah ke hadapan untuk mencapai matlamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghapuskan Hepatitis C menjelang 2030, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata biarpun berhadapan cabaran, Malaysia telah mencapai banyak kemajuan dalam menangani penyakit itu dengan menjalankan saringan secara aktif virus hepatitis C (HCV) dan mencari pesakit-pesakit dalam kalangan komuniti.

“Ini adalah usaha berterusan seperti yang dapat dilihat menerusi kajian permulaan oleh KKM (Kementerian Kesihatan) , FIND (Foundation for Innovative New Diagnostics) dan DNDi (Drugs for Neglected Diseases Initiative) yang menjadi pemangkin kepada pemencaran saringan dan rawatan hepatitis C kepada klinik-klinik kesihatan,” katanya semasa berucap dalam satu seminar dalam talian semalam.

Seminar sempena sambutan Hari Hepatitis Sedunia itu, dianjurkan oleh FIND dan DNDi dengan sokongan WHO, KKM and Majlis AIDS Malaysia dengan tema “Hepatitis C Can’t Wait, Malaysia Isn’t Waiting”.

Dr Noor Hisham berkata meskipun WHO menyasarkan untuk menghapuskan penyakit itu menjelang 2030, namun hanya 10 hingga 15 peratus daripada populasi dunia yang terkesan dengan penyakit itu mempunyai akses kepada rawatan hepatitis C.

Beliau berkata Malaysia telah mengambil langkah-langkah penting dalam melonjakkan akses kepada rawatan penyakit itu, iaitu menerusi rundingan dengan syarikat-syarikat farmasi serta penggunaan undang-undang, untuk memastikan kos rawatan yang berpatutan.

“Gabungan peningkatan akses kepada ujian dan ubat adalah asas pada usaha-usaha kami untuk mencapai matlamat WHO yakni mengurangkan jangkitan, menurunkan kadar kematian, dan mencari jutaan pesakit yang ‘hilang’ serta mendiagnosis pesakit, dan merawat semua pesakit yang layak, telah meletakkan kami atas landasan untuk menghapuskan HCV menjelang 2030,” katanya.

Sementara itu, menurut Ketua Gastroenterologi dan Hepatologi KKM Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, dalam satu sidang media maya pada 14 Jun, lebih 10,000 pesakit di Malaysia telah sembuh daripada HCV hasil kombinasi ubat baharu Ravidasvir dengan ubat antivirus sedia dengan kos berpatutan Sofosbuvir, dalam tempoh tiga hingga enam bulan rawatan.

Dr Noor Hisham berkata Malaysia juga sedang mengkaji kaedah untuk meningkatkan lagi akses kepada saringan HCV bagi meluaskan akses kepada saringan HCV kepada mereka yang mungkin tidak dapat melakukannya di pusat saringan.

Beliau berkata ujian kendiri akan membolehkan petugas kesihatan memencarkan saringan dan rawatan HCV di dalam komuniti sehampir mungkin.

“Kita tidak boleh berpuas hati apatah lagi apabila kita mempunyai peralatan dan penawar untuk merawat penyakit hepatitis C. Kita tidak boleh menunggu untuk pihak lain menyelesaikan masalah kita.

Kita mesti mencari penyelesaian sendiri. Kita mesti mengambil tanggungjawab, sama ada COVID-19, denggi, malaria, atau kanser, perkongsian seperti yang ditunjukkan untuk HCV, boleh membawa kepada solusi yang diperlukan, dengan harga yang kita mampu,” katanya.

Hari Hepatitis Sedunia disambut pada 28 Julai setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran tentang hepatitis viral, iaitu sejenis keradangan pada hati yang menyebabkan penyakit hati yang serius dan kanser hati.

Menurut WHO, terdapat lima jenis virus hepatitis utama iaitu A, B, C, D dan E.

Hepatitis B dan C merupakan virus hepatitis paling banyak di dunia yang melibatkan 1.1 juta kematian dan tiga juta jangkitan baharu setiap tahun.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu