Nation
194

Malaysia sasar teknologi maju berorientasikan pelaburan : Azmin Ali

Kuala Lumpur – Malaysia akan terus mensasarkan pelaburan berorientasikan teknologi maju berkualiti tinggi di bidang pertumbuhan baharu yang juga memfokuskan kepada kemampanan jangka panjang bersesuaian dengan inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pelaburan baharu berasaskan kepada elemen itu akan mendorong pertumbuhan di sektor teknologi yang canggih.

“Seperti yang termaktub dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), penekanan khusus diberikan kepada elemen-elemen ESG sebagai lesen baharu untuk beroperasi kerana tiada lagi banyak alternatif, ia mendapat permintaan daripada pengguna dan pelabur.

“ESG akan membentuk perniagaan menjadi pemangkin untuk menangani krisis iklim dan cabaran dan peluang yang wujud akibat perubahan iklim,” katanya dalam ucapan yang dirakam lebih awal pada ‘Invest Malaysia 2021 Virtual Series 1’, hari ini.

Beliau berkata dengan asas ekonomi Malaysia yang kukuh, kerajaan yakin kepada prospek pemulihan yang mampan, pertumbuhan ekonomi yang saksama dan kemakmuran bersama.

“Kami berazam untuk mencapai semua ini melalui kolaborasi, perkongsian dan semangat yang diharapkan bukan hanya dicapai Malaysia atau ASEAN tetapi di seluruh dunia, menuju bersama ke arahan masa depan lebih cerah,” katanya.

Mohamed Azmin berkata kerajaan juga akan terus memperkukuhkan asas ekonomi Malaysia melalui pelaksanaan dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka, telus dan mesra perniagaan.

Beliau berkata ia termasuk usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan untuk meratifikasi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Seperti negara-negara lain di seluruh dunia, ekonomi kita telah dilanda oleh serangan pandemi COVID-19.

“Bursa Malaysia telah melalui waktu susah dan senang, memetik pepatah Inggeris – ‘we have taken the beating on the chin’ (Malaysia menghadapinya dengan berani tanpa merungut), akhirnya Malaysia terus berada dalam kedudukan kukuh, ia satu pencapaian,” katanya.

Beliau berkata bagi menyediakan asas yang kukuh tetapi fleksibel adalah untuk melabur bagi keuntungan strategik jangka panjang kerana Malaysia memerlukan kemasukan aliran modal yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi.

“Justeru, kami mengutamakan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) kerana ia jelas memberi kesan positif kepada pertumbuhan,” katanya.

Mengenai sektor perdagangan, Azmin berkata jumlah perdagangan pada bulan Ogos 2021 mengalami trajektori menaik, berkembang 15.7 peratus kepada RM169.8 bilion dengan eksport tumbuh sebanyak 18.4 peratus dengan mencapai RM95.6 bilion.

“Pada separuh pertama tahun 2021, FDI melonjak 223.1 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada 2020. Malaysia mencatatkan RM107.5 bilion daripada jumlah FDI dan DDI yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer, hampir 70 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata pelaburan itu melibatkan sebanyak 2,110 projek dan ia dijangka menghasilkan 45,000 peluang pekerjaan.

Mohamed Azmin berkata semakin banyak projek berintensifkan modal yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan membantu mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan bernilai tinggi dan berkemahiran.

“Malaysia terus menarik pelaburan bernilai tinggi dan berteknologi tinggi menerusi pekerja berkemahiran tinggi dan kesediaan menggunakan teknologi maju untuk industri tambah nilai,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu