Nation
334

Malaysia sedia jalin kerjasama strategik bersama AS tangani isu buruh paksa : KSM

Putrajaya – Malaysia sedia menjalin kerjasama strategik dengan Amerika Syarikat (AS), bagi menangani isu pemerdagangan orang khususnya buruh paksa.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata dalam perbincangannya bersama Duta AS ke Malaysia, Brian McFeeters, hari ini, beliau menyatakan Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedia menjalin kerjasama strategik dengan AS bagi menambah baik penguatkuasaan untuk meningkatkan jumlah sabitan kes buruh paksa.

Katanya, perbincangan dengan McFeeters turut berkisar mengenai penilaian tahunan 2021 Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS), mengenai pemerdagangan orang.

“Isu buruh paksa terutama membabitkan pekerja asing menjadi keutamaan kerajaan, susulan laporan JNAS dan juga beberapa laporan serta kajian oleh pelbagai institusi antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saravanan berkata, kajian terbaru oleh ‘Modern Slavery & Human Rights Policy and Evidence Centre (The Modern Slavery PEC)’ bertajuk “Forced Labour in the Malaysian Medical Gloves Supply Chain during the COVID-19 Pandemic” turut menyentuh isu buruh paksa di sektor pembuatan sarung tangan getah.

Beliau berkata, bagi menangani isu buruh paksa, tidak hanya kerjasama merentasi pelbagai kementerian dan jabatan atau agensi kerajaan diperlukan, sebaliknya kerjasama dengan negara luar, pertubuhan antarabangsa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat juga penting.

Katanya, dalam perbincangan itu, beliau juga memaklumkan kepada McFeeters mengenai inisiatif dilaksanakan kementeriannya bagi menangani isu buruh paksa.

“Antaranya termasuk penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (AKta 265) dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), yang mana sepanjang tahun 2020 sehingga Jun 2021, sejumlah 194 kertas siasatan dibuka,” katanya.

Saravanan berkata, KSM dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sedang membangunkan Pelan Tindakan Nasional mengenai buruh paksa dan buruh kanak-kanak, yang dijangka dimuktamadkan serta dilancarkan pada suku keempat tahun ini.

Beliau berkata, bagi memudahkan aduan membabitkan isu perburuhan, aplikasi mudah alih ‘Working for Workers (WFW)’ dengan 17 kategori aduan dilancarkan pada Mei lalu dan sejumlah 5,675 aduan diterima sehingga Ahad lalu melalui aplikasi itu dengan 4,105 daripadanya diambil tindakan oleh KSM.

Katanya, KSM sedang meneliti JNAS 2021 dan kajian Modern Slavery PEC bagi memperbaiki langkah sedia ada dan memastikan terdapat pendekatan menyeluruh mengenai isu perburuhan, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu