Nation
50

Malaysia sertai COVAX untuk tunjukkan solidariti global untuk ekuiti vaksin : Khairy

Kuala Lumpur – Malaysia telah membuat keputusan untuk menyertai COVAX bagi menunjukkan solidariti global dan memastikan ekuiti vaksin untuk semua, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

COVAX yang diterajui bersama oleh ‘The Global Alliance for Vaccine and Immunisation’ (GAVI), ‘Coalition for Epidemic Preparedness Innovations’ dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bertujuan untuk meningkatkan pembangunan dan penghasilan vaksin COVID-19 dan memastikan akses vaksin COVID-19 yang adil dan berkesan untuk semua negara di seluruh dunia.

Menurut Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, banyak tempat di dunia terutamanya negara berpendpatan rendah dan pertengahan, berhadapan masalah untuk mendapatkan bekalan vaksin dan juga tidak mempunyai kebolehan atau keupayaan, untuk menghasilkan vaksin di negara mereka sendiri.

“Negara maju telah menguasai banyak bekalan, dan negara miskin kini terpaksa bergantung kepada kemudahan seperti COVAX bagi mendapatkan vaksin mereka. Ketidaksamaan ini adalah satu ketidakadilan.

“Malaysia telah menjangkakan perkara ini dari awal dan memulakan perbincangan awal, termasuk bersama AstraZeneca, bagi mendapatkan bekalan yang mencukupi untuk mengimunisasikan kira-kira 80 peratus populasi negara pada akhir tahun ini,” katanya pada ucaptamanya menerusi aplikasi Zoom di pelancaran Pusat Inovasi Kesihatan AsrtaZeneca semalam.

Beliau berkata, pujian perlu diberikan kepada AstraZeneca, sebuah syarikat biofarmaseutikal kerana membuat keputusan untuk menjual vaksinnya pada harga kos ketika pandemik ini, dalam memastikan ekuiti vaksin dan selain menjadi bahagian yang besar daripada bekalan vaksin COVAX.

Malaysia dijadualkan untuk mula menerima penghantaran vaksin AstraZeneca pada Mei, yang melibatkan perolehan 6.4 juga dos untuk kegunaan 3.2 juta orang.

Selain itu Khairy berkata, ketidakupayaan Malaysia untuk menghasilkan vaksin untuk manusia pada masa ini adalah satu kesedaran untuk beliau dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk meningkatkan keupayaan, terutamanya dalam sektor penjagaan kesihatan, yang termasuklah pembangunan vaksin untuk manusia daripada Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) kepada penghasilan.

Dalam perkara itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Universiti Sunway dan AstraZeneca dalam menubuhkan Hub Inovasi Kesihatan di Malaysia yang secara strategiknya menyokong pembangunan sebuah ekosistem penjagaan kesihatan utama yang lebih baik dan juga kedudukan negara yang kuat dalam inovasi dalam dunia penjagaan kesihatan.

“Sebagai pusat inovasi pertama di negara ini yang menggabungkan bersama keupayaan sebuah organisasi akademik dan sebuah syarikat perubatan multinasional, bertempat di Sunway Innovation Labs (Sunway iLabs) akan menyediakan satu platform strategik untuk kemudahan R&D, digital dan kerja sama komersial bersama pemegang taruh tempatan dan ‘start-ups’,” katanya.

Hub itu merupakan sebahagian daripada AstraZeneca A. Catalyst Network dan hub ke-10 dilancarkan dalam pasaran, bersama dengan hub yang terletak di Rusia, Brazil, Argentina, India, Singapura, negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), selain China, Taiwan dan Hong Kong.

Menerusi A. Catalyst Network, AstraZeneca menghasilkan solusi berasaskan cabaran bersama dan untuk pesakit, dan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk membina sistem penjagaan kesihatan bersepadu yang akan memberikan mendapat manfaat daripada kesemua pengalaman pesakit daripada pencegahan, kesedaran, dianogsis dan pengubatan kepada pasca rawatan dan kesihatan. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu