Nation
133

Malaysia terima 1.059 juta dos vaksin AstraZeneca, Coronavac

Putrajaya – Malaysia menerima dua lagi penghantaran vaksin COVID-19 hari ini dengan ketibaan vaksin AstraZeneca dan CoronaVac berjumlah 1,059,200 dos.

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam satu kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, 559,200 dos merupakan vaksin AstraZeneca manakala 500,000 dos lagi vaksin CoronaVac.

”Ketibaan bekalan (vaksin) ini merupakan tambahan kepada stok sedia ada,” kata CITF.

Ia menjadikan jumlah terkini vaksin AstraZeneca yang diterima Malaysia daripada fasiliti COVAX ialah 828,000 dos. Stok yang diperoleh sebelum ini ialah sebanyak 268,800 dos.

Menurut CITF, satu lagi penghantaran bekalan vaksin AstraZeneca daripada COVAX dengan jumlah yang sama iaitu 559,200 dos ialah pada hujung bulan ini.

“Dos AstraZeneca yang diterima dijamin berkualiti, selamat dan berkesan melalui pematuhan ke atas keperluan ‘Lot Release’,” katanya.

Kenyataan CITF juga menyebut vaksin yang diterima itu akan dihantar ke Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) di Lembah Kelang serta tiga negeri lain yang baru menyertai Inisiatif Pelawaan Pengambilan Vaksin AstraZeneca iaitu Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

CITF turut memaklumkan bahawa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjalan lancar mengikut perancangan malah kadar vaksinasi penduduk negara ini terus meningkat berikutan pertambahan bekalan vaksin yang dijangka tiba dari semasa ke semasa.

“Sehingga kini, kadar vaksinasi mencatatkan peningkatan konsisten dengan 60,261 orang telah menerima suntikan vaksinasi pada 17 Mei lepas diikuti 76,551 orang (18 Mei) dan 83,648 orang (19 Mei),” menurut CITF.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam kenyataan bersama memaklumkan ketibaan vaksin tersebut adalah pencapaian penting bagi Fasiliti COVAX dalam usahanya untuk menghantar sekurang-kurangnya dua bilion dos vaksin COVID-19 menjelang akhir 2021.

Wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura Dr Lo Ying-Ru Jacqueline berkata keutamaan harus diberikan kepada mereka yang paling memerlukan iaitu warga emas serta golongan dengan masalah kesihatan lain.

“WHO dan rakan kongsinya kini berusaha memastikan lebih banyak dan pelbagai jenis vaksin dapat disediakan menerusi Fasiliti COVAX dan kami menggalakkan penduduk di Malaysia mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi mereka sambil berwaspada kerana itu adalah peluang terbaik kita untuk kekal sihat serta dilindungi daripada COVID19,” katanya.

Wakil UNICEF ke Malaysia serta Wakil Khas badan dunia itu ke Brunei Darussalam Dr Rashed Mustafa Sarwar pula berkata agensi tersebut teruja apabila melihat penghantaran kedua vaksin COVID-19 daripada Fasiliti COVAX tiba di negara ini pagi tadi.

“Ini adalah satu lagi sumbangan kepada usaha kerajaan bagi melindungi nyawa warganegara dan bukan warganegara di Malaysia. Kerjasama kita akan berterusan dan kita akan mengatasi pandemik ini bersama-sama,” katanya.

Sejumlah 559,200 dos vaksin AstraZeneca (AZ) yang tiba hari ini adalah sebagai susulan kepada penghantaran 268,800 dos pada 21 April lepas ke Kuala Lumpur.

Setakat ini, Malaysia telah menerima 828,000 dos vaksin AZ daripada sejumlah 1,387,200 dos yang dijangka disediakan oleh Fasiliti COVAX. – Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu