Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

Malaysia terus perjuang isu penting di peringkat global

NEW YORK — Malaysia akan terus memperjuang isu penting di pelbagai forum antarabangsa terutama yang berkaitan penindasan rakyat Palestin, situasi di Myanmar, ekonomi negara membangun dan reformasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang menyifatkan misi mengetengahkan isu terbabit di Perhimpunan Agung PPB (UNGA) ke-77 di sini berjaya, berkata Malaysia sudah sekian lama konsisten dalam memperjuang nasib rakyat Palestin.

“Malaysia akan teruskan sokongan kepada Palestin sehinggalah kekejaman terhadap mereka diberhentikan dan menubuhkan negara sendiri. Kita kecewa isu Palestin masih tidak selesai walaupun sudah ada tiga resolusi PBB,” katanya pada sidang media di akhir lawatan kerja empat hari ke New York.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri menyampaikan Kenyataan Negara di UNGA yang menyentuh isu Palestin, konflik di Ukraine, kemelut di Myanmar sehingga menyebabkan Malaysia terpaksa menerima kira-kira 200,000 pelarian etnik Rohingya dan perlunya reformasi PBB yang kini dianggap tidak mampu menyelesaikan pelbagai konflik berterusan di seluruh dunia.

“Kebanyakan negara bertindak begitu cepat dalam kes di Ukraine. Malaysia mahu tindakan yang sama diambil bagi menyelesaikan isu di Palestin. Israel perlu berhenti menjadi sebuah entiti Apartheid!” kata Ismail Sabri yang akan melakukan lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu mulai Isnin.

Beliau juga berkata komuniti antarabangsa perlu segera bertindak menyelesaikan krisis politik di Myanmar yang memburukkan lagi keadaan berjuta-juta pelarian Myanmar namun PBB seolah-olah ‘lepas tangan’ dan menyerahkan kepada ASEAN untuk menyelesaikannya.

Pada perhimpunan tahunan yang dihadiri lebih 150 negara, Ismail Sabri berkata gesaan supaya reformasi badan dunia itu dilakukan segera terutama menghapuskan kuasa veto mendapat maklum balas positif beberapa pemimpin termasuk Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

“Sepatutnya prinsip satu negara satu undi diberi keutamaan tetapi apa yang berlaku ialah suara 193 negara anggota PBB tidak penting kerana lima negara yang mempunyai kuasa veto boleh membatalkan apa sahaja resolusi yang dibawa,” katanya.

Mengenai cadangan beliau supaya PBB mewujudkan Mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa bagi menangani pelbagai isu ekonomi antaranya cengkaman inflasi yang melanda dunia, Perdana Menteri berkata walaupun bank pusat berhak menaikkan kadar faedah, kesan terhadap negara lain juga perlu diberi perhatian.

“Misalnya apabila Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah, ia memberi kesan bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga negara lain. Apa yang kita mahu ialah koordinasi atau pertimbangan sebelum langkah seperti ini diambil,” katanya.

Ketika berucap di UNGA, Perdana Menteri berkata cadangan penubuhan mekanisme itu adalah bagi membina sistem yang lebih efektif, adil dan mampu mengimbangi keperluan pembangunan sejagat, lapor Bernama.

Tags: , ,