Nation
247

Malaysia terus runding dengan Singapura pembukaan semula sempadan

Kuala Lumpur – Kerajaan akan terus berunding dengan Singapura berhubung pembukaan semula sempadan secara beransur-ansur yang bergantung kepada situasi kesihatan semasa.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata ia termasuk cadangan pergerakan rentas sempadan secara harian yang dikenali sebagai Daily Commuting Arrangement (DCA).

Beliau berkata pada masa ini, Malaysia dan Singapura akan terus melaksanakan peraturan kesihatan yang ketat bagi pergerakan rentas sempadan disebabkan penularan COVID-19 di kedua-dua negara masih belum reda.

“Saya difahamkan baru-baru ini Menteri Kesihatan kita (Khairy Jamaluddin) telah mengadakan perbincangan melalui telefon dengan rakan sejawatnya, Menteri Kesihatan Singapura (Ong Ye Kung) mengenai cadangan pembukaan semula sempadan Malaysia dan Singapura.

“Jadi kita berdoa dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin,” katanya ketika menggulung Usul Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengenai isu pencerobohan di Laut China Selatan, beliau berkata Malaysia tidak akan berkompromi dalam perkara yang boleh menjejaskan keutuhan wilayah, kedaulatan dan kepentingan negara termasuk dalam pengendalian isu Laut China Selatan yang kompleks serta melibatkan hubungan antara negara.

Beliau berkata kerajaan Malaysia secara konsisten mengemukakan Nota Bantahan Diplomatik kepada kerajaan negara yang mana kapal asing mereka didapati menceroboh perairan negara ini dan tindakan itu diambil selaras dengan undang-undang antarabangsa dan pendirian Malaysia untuk mempertahankan kedaulatan serta hak kedaulatan dalam perairan negara.

“Tindakan ini juga adalah sebagai langkah Malaysia yang tidak pernah mengiktiraf tuntutan negara-negara penuntut Laut China Selatan apabila tuntutan itu melibatkan dan bertindih dengan perairan negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata pemilihan Kalimantan Timur sebagai ibu kota baharu Indonesia bagi menggantikan Jakarta mampu menyumbang kepada pemesatan ekonomi setempat khususnya Sabah dan Sarawak yang boleh bermanfaat dari sudut aliran perdagangan serta sektor pelancongan.

Beliau berkata pemindahan itu juga dijangka akan membuka banyak peluang pelaburan Malaysia di Kalimantan Timur dengan penglibatan syarikat pemaju Malaysia yang mengambil bahagian dalam projek pembangunan ibu kota itu.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan bersetuju dengan cadangan Wisma Putra untuk Parlimen Malaysia menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Pemilih untuk Hal Ehwal Antarabangsa, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu