Nation
350

Malaysia teruskan penggunaan vaksin AstraZeneca

Tuaran – Malaysia akan terus menggunakan vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca kerana insiden membabitkan vaksin itu jarang berlaku maka manfaatnya melebihi risiko, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia perlu lebih berhati-hati dengan penggunaan vaksin itu kerana insiden darah beku dan kematian dilaporkan berlaku di banyak negara.

“Kami akan meneruskannya, kami tidak mempunyai alasan untuk menghentikannya kerana seperti yang telah saya katakan, kita melihat manfaatnya melebihi risiko,” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas melakukan lawatan rasmi ke Hospital Tuaran.

Turut hadir Pengarah Hospital Tuaran Dr G.Mohan.

Terdahulu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan telah menyediakan beberapa pelan sandaran jika penggunaan vaksin AstraZeneca ditangguh dan langkah itu akan diambil sekiranya ia didapati tidak sesuai digunakan di negara ini.

Dr Noor Hisham juga berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melihat kaedah terbaik untuk menjalin kerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan lain bagi memperkasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di kawasan luar bandar serta pedalaman untuk memastikan penduduk mendapat suntikan vaksin.

“Setiap kawasan (luar bandar dan pedalaman) mungkin keperluannya berbeza. KKM (boleh) bekerjasama dengan pasukan polis, Angkatan Tentera Malaysia dan RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) untuk masuk ke kawasan tersebut.

“Kita juga akan melihat daripada segi logistik dan apakah vaksin yang terbaik untuk digunakan. Sebaik-baiknya kita mahu menggunakan vaksin tunggal dan bukannya dua dos, jadi vaksin terbaik buat masa ini ialah dos tunggal canSino serta vaksin Johnson and Johnson. Satu dos lebih mudah dan kita boleh meliputi seluruh kampung,” katanya.

Mengambil contoh Sabah, beliau berkata kurang daripada 400,000 penduduk negeri itu mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera untuk menerima suntikan vaksin, justeru angka tersebut perlu ditingkatkan.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata Sabah boleh dijadikan contoh terbaik dalam membendung penularan COVID-19 apabila jumlah kes baharu jangkitan wabak itu berjaya dikurangkan daripada empat digit pada Oktober tahun lepas kepada dua digit dalam tempoh enam minggu kebelakangan ini.

“Dalam setahun kita bertarung dan enam bulan lepas, ‘peperangan’ hebat (memerangi COVID-19) berlaku di Sabah… orang tidak sangka (Sabah) dapat turunkan (jumlah kes COVID-19) daripada empat angka kepada dua angka, ini satu kejayaan yang harus dipuji dan menjadi penanda aras untuk negeri lain.

“Antara strategi digunakan di Sabah dalam membendung penularan jangkitan COVID-19 ialah kawalan sempadan, kapasiti dan keupayaan hospital, kaedah kesihatan awam, melindungi golongan berisiko tinggi dan memperkasa komuniti,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata tidak mustahil Malaysia mampu mencatat angka satu digit dan sifar kes baharu dalam sehari jika rakyat negara ini terus mematuhi prosedur operasi standard mengekang COVID-19 serta menggunakan kaedah kesihatan awam. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu