Kuala Lumpur Post

Nation

Malaysia, Uzbekistan akan teroka peluang kerjasama dalam sektor petrokimia

TASHKENT — Malaysia dan Uzbekistan bersetuju untuk meneroka peluang kerjasama dalam sektor petrokimia dan penyelesaian tenaga hijau bersih.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev menerusi satu kenyataan bersama berkata, Uzbekistan berminat untuk menjalin kerjasama dengan syarikat minyak nasional Malaysia, Petronas, terutamanya melalui projek metanol-kepada-olefin (MTO), hidrogen hijau dan pengeluaran berkaitan, termasuk ammonia hijau.

“Kedua-dua pihak mengalu-alukan potensi sumbangan Petronas menerusi latihan kepada kakitangan Uzbekistan dalam sektor minyak dan gas,” demikian menurut kenyataan itu.

Uzbekistan mengiktiraf Malaysia sebagai salah satu pusat kewangan Islam terbesar di dunia dan bersedia menyediakan bantuan yang diperlukan kepada bank-bank Malaysia untuk menyertai pasaran kewangan negara tersebut bagi menjalin kerjasama dalam bidang kewangan Islam.

“Malaysia mengambil maklum tentang minat itu dan bersedia untuk mengadakan libat urus dengan Uzbekistan mengenai pembangunan ekosistem kewangan Islam di Uzbekistan.

“Para pemimpin komited untuk meningkat dan mengukuhkan rangka kerja kerjasama berasaskan perjanjian dua hala melalui permeteraian dokumen jangka panjang baharu dalam pelaburan, penguatkuasaan undang-undang, pendidikan, inovasi, kastam dan bidang kepentingan bersama yang lain,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Anwar melakukan kunjungan hormat ke atas Mirziyoyev sebelum mengadakan mesyuarat bersama presiden itu.

Semasa pertemuan selama sejam itu, kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan antara Malaysia dan Uzbekistan serta meneroka bidang kerjasama yang berpotensi.

Terdahulu, pesawat khas yang membawa Anwar dari Kazakhstan, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent pada 2.15 petang waktu tempatan (5.15 petang waktu Malaysia).

Uzbekistan adalah persinggahan terakhir bagi lawatan rasmi Anwar ke tiga negara Asia Tengah. Sebelum itu Perdana Menteri melawat Republik Kyrgyz dan Kazakhstan.