Kuala Lumpur Post

Nation

Mangsa banjir di Johor catat penurunan

KUALA LUMPUR — Jumlah mangsa banjir di Johor terus mencatatkan pengurangan, manakala Pahang tidak menunjukkan perubahan pagi ini, yang membabitkan 1,860 mangsa yang berlindung di 18 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 1,869 mangsa malam, semalam.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah itu meliputi 1,141 orang daripada 326 keluarga yang berlindung di 13 PPS di lima daerah di Johor, dan 719 orang daripada 215 keluarga di lima PPS di Pahang.

Di Johor, 611 mangsa masih berlindung di empat PPS di Mersing, 255 mangsa di empat PPS di Kota Tinggi, 155 mangsa di dua PPS di Kluang, 88 mangsa di dua PPS di Segamat dan 32 mangsa di sebuah PPS di Batu Pahat.

Di Pahang pula, 573 mangsa berada di tiga PPS di Pekan, manakala 146 mangsa berada di dua PPS di Rompin.

Tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di Johor, Pahang, Perak, Perlis dan Terengganu berada pada paras bahaya, pagi ini.

Di Johor, sungai itu adalah Sungai Johor di Kota Tinggi, Sungai Muar di Segamat, Sungai Endau di Kluang dan Sungai Jemaluang di Mersing, manakala di Pahang pula ia membabitkan Sungai Pahang di Pekan, Bera dan Maran serta Sungai Rompin.

Turut tersenarai Sungai Perak di Hulu Perak, Sungai Arau di Perlis, dan Terengganu (Sungai Terengganu di Kuala Terengganu).

Nadma turut memaklumkan terdapat 47 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor; Jalan Pahang Tua-Ganchong-Pulau Manis di Pekan, Pahang dan Jalan Bukit Besi-Dungun di Dungun, Terengganu.

Selain itu, Nadma memaklumkan seramai 47 orang daripada 12 keluarga masih berlindung di sebuah PPS di Tawau, Sabah, manakala 38 mangsa daripada 12 keluarga pula ditempatkan di sebuah PPS di Kuching, Sarawak ekoran insiden kebakaran.

Tags: , ,