Nation
231
0

Mangsa banjir di Terengganu meningkat

Kuala Terengganu – Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat apabila seramai 2,629 mangsa daripada 735 keluarga kini ditempatkan di 73 pusat pemindahan sementara (PPS), sehingga jam 7 pagi tadi.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding jam 11 malam tadi yang merekodkan seramai 1,817 mangsa daripada 503 keluarga di 49 PPS.

Berdasarkan rekod, sehingga jam 7 pagi tadi juga, semua daerah menunjukkan pertambahan jumlah mangsa menerusi gelombang ketiga banjir yang bermula kelmarin.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata daerah Marang masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila seramai 748 mangsa daripada 197 keluarga dipindahkan ke sembilan PPS.

Katanya, jumlah itu meningkat berbanding hanya 681 mangsa daripada 181 keluarga ditempatkan di tujuh PPS malam tadi.

“Jumlah mangsa banjir di Setiu juga meningkat apabila 140 keluarga membabitkan 523 mangsa kini dipindahkan ke 22 PPS.

“Di Besut, 17 PPS dibuka bagi menempatkan 463 mangsa daripada 155 keluarga berbanding hanya sembilan PPS bagi menempatkan 265 mangsa daripada 79 keluarga.

“Seramai 284 mangsa daripada 79 keluarga turut dipindahkan di lima PPS di daerah Kuala Terengganu manakala, 211 mangsa daripada 53 keluarga di daerah Kuala Nerus ditempatkan di enam PPS,” katanya.

Che Adam berkata, 10 PPS dibuka di Dungun bagi menempatkan 262 mangsa daripada 70 keluarga berbanding hanya tiga PPS membabitkan 60 mangsa daripada 19 keluarga.

Katanya, seramai 122 mangsa daripada 38 keluarga ditempatkan di tiga PPS di Kemaman manakala, Hulu Terengganu yang merekodkan jumlah mangsa terendah hanya membuka satu PPS bagi menempatkan tiga keluarga membabitkan 16 mangsa. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu