Social
321
0

Mangsa dipercayai warga asing, lari dari pusat kuarantin

Sepang –  Mayat lelaki tanpa organ dalaman ditemukan 10 November lalu dalam bekas lombong berhampiran Kampung Orang Asli Bukit Dugang, Dengkil, di sini, dipercayai warga asing lari dari pusat kuarantin Covid-19.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, satu syarikat menyatakan mayat lelaki yang ditemukan dalam kolam lombong berkemungkinan pekerja asing syarikat itu.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan mendapatkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dikemukakan menerusi kedutaan besar negara asal si mati dua minggu lalu.

“Polis masih menunggu pengesahan identiti mangsa menerusi DNA kaum keluarganya di negara asal. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mangsa tiba di negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Selepas dua hari menjalani kuarantin, mangsa dapat melarikan diri dari Pusat Kuarantin Hotel Marriot di sini.

“Kemudian mayatnya ditemui terapung tanpa organ dalaman di dalam bekas lombong,” katanya ketika ditemui dalam sidang media penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, 12.01 tengah malam tadi.

Pada 12 November lalu, portal MyMetro melaporkan mayat mangsa ditemukan dalam keadaan meniarap serta tidak berpakaian manakala bahagian organ dalamannya didapati sudah tiada disyaki dimakan ikan atau binatang di lombong berkenaan.

Wan Kamarul Azran dilaporkan berkata, mangsa disyaki meninggal dunia kira-kira lima hari sebelum itu dan tiada dokumen pengenalan dirinya ditemui.

Menurutnya, mayat itu ditemui kira-kira 50 meter dari sebuah kandang lembu dan siasatan awal polis terhadap penduduk Orang Asli mendapati tiada ahli keluarga mereka yang hilang.

Siasatan polis juga, katanya, tidak menemui pakaian mangsa di kawasan berdekatan.

Katanya, mangsa dianggarkan berketinggian 178 sentimeter dan seberat 130 kilogram. – Harian Metro

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu