Nation
480

Mangsa kemalangan LRT tuntut pampasan RM1.8 juta

Kuala Lumpur – Keluarga salah seorang penumpang yang cedera parah dalam insiden pelanggaran dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Laluan Kelana Jaya berhampiran Stesen LRT KLCC minggu lepas telah mengemukakan Notis Tuntutan Undang-undang terhadap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi menuntut pampasan dan ganti rugi kecuaian berjumlah RM1.8 juta.

Surat tuntutan dikemukakan hari ini oleh keluarga mangsa, Wong Chee Foong, 52, menerusi peguam Jazzmine Khoo daripada firma guaman Tetuan Jazzmine Khoo & Associates.

Menurut kenyataan oleh firma guaman itu, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala, muka dan tulang belakang akibat tragedi itu sehingga perlu menjalani beberapa pembedahan dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Tuntutan berkenaan merangkumi perbelanjaan bagi perubatan, kecederaan fizikal, tekanan mental dan emosi, trauma, kehilangan pendapatan, ganti rugi khas dan am atas kecuaian yang berlaku.

“Keluarga mangsa berharap Prasarana akan memberi maklum balas berhubung notis tuntutan itu serta mengemukakan cadangan penyelesaian yang baik dan wajar dengan segera,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu pada sidang media di pejabat firma guaman berkenaan, Khoo berkata Prasarana diberi masa tujuh hari untuk memberi maklum balas terhadap surat notis tuntutan itu.

Menurut Khoo, Wong, seorang tukang masak di sebuah hotel lima bintang di sini adalah satu-satunya pencari nafkah untuk keluarga dan dia mempunyai empat orang anak berusia antara 15 hingga 3 tahun.

Isteri Wong, Joyce Wong, 42, memberitahu pemberita bahawa suaminya mengalami banyak kecederaan serius di kepala, muka dan tulang belakang ekoran kemalangan itu.

“Suami saya baru selesai menjalani pembedahan otak dan hari ini dia akan menjalani pembedahan lain untuk tulang belakang dan patah tulang muka, dia masih diberikan sedatif sejak kemalangan itu,” katanya.

Isnin lepas, seramai 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan apabila sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji, bertembung di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu