Kuala Lumpur Post

Social

Mangsa nahas pesawat ditemukan dalam kokpit pada kedalaman 1.52 meter dalam tanah

SHAH ALAM — Dua mangsa nahas kejadian pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang tengah hari semalam ditemukan berada dalam kokpit pesawat pada kedalaman 1.52 meter dalam tanah, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor Wan Md. Razali Wan Ismail.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata mangsa pertama dikeluarkan pada jam 7.06 malam disusuli mangsa kedua 11 minit kemudian.

“Kedua-dua mangsa berada dalam kokpit pesawat ketika ditemui, meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Wan Md Razali berkata usaha pencarian dilakukan pihak bomba dengan menggunakan kaedah “sweeping” dalam jarak 800 meter daripada cebisan sayap pesawat sehingga ke bangkai utama pesawat yang dipercayai terjunam ketika penerbangan.

Bomba juga menggunakan kaedah penggalian secara manual dengan bantuan jentera berat berdasarkan cebisan-cebisan mayat yang ditemukan di sekitar bangkai pesawat.

Kerja mencari mangsa juga dibantu pasukan bomba sukarela, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk sekitar.

Terdahulu, media melaporkan juruterbang dan seorang pembantu juruterbang disahkan maut nahas terbabit dan kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk proses bedah siasat.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata mengikut manifes yang didaftarkan, nama mangsa yang terbunuh ialah juruterbang Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan pembantu juruterbang Roshaan Singh Raina, 42.

Proses bedah siasat dua mangsa yang terbunuh akan dilakukan pada 8 pagi ini di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

Tags: ,