Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

MARA tamatkan pengajian 10 pelajar MRSM terlibat kes buli

Kuala Lumpur – Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) menamatkan pengajian 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azhar Abdul Manaf dalam satu kenyataan berkata mesyuarat JDM telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit berkuat kuasa hari ini.

“Pihak MARA mengambil serius kejadian buli yang berlaku minggu lalu itu dan hukuman yang diputuskan ini menunjukkan pihak kami tegas serta tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar di bawah mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) mahupun tajaan MARA,” katanya.

Azhar berkata ibu bapa pelajar terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa berkenaan.

Menurutnya keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM.

Beliau berharap tindakan JDM berkenaan bukan sahaja menjadi pengajaran kepada pelajar terlibat bahkan kepada pelajar lain agar perbuatan salah laku di mana-mana institusi pendidikan di bawah MARA tidak lagi berlaku pada masa

“Kami di MARA tentunya hendak melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan malah mempunyai sahsiah diri dan tingkah laku peribadi yang baik serta diterima masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Azhar berkata pihaknya komited menangani kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) melalui penguatkuasaan peraturan sekolah selain pemantauan berterusan terhadap segala aktiviti pelajar termasuk pembelajaran di dalam kelas.

Media pada Jumaat lalu melaporkan mengenai video berdurasi 10 saat tular dalam media sosial yang memaparkan seorang pelajar dikepung di dalam bilik asrama dan ditumbuk di bahagian perut oleh rakan-rakannya, tindakan yang mendapat kecaman hebat warganet.

Susulan kejadian itu, 10 pelajar lelaki dengan sembilan daripadanya berusia 13 tahun dan seorang lagi berusia 15 tahun ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar bagi membantu siasatan, lapor Bernama.

Tags: , , , , ,