Nation
240

Maritim Malaysia, polis siasat kejadian penyelam mati

Kuching – Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kematian seorang penyelam wanita yang mayatnya ditemukan di perairan Tanjung Po di sini Khamis lepas.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak Kapten Maritim Yousry Yaali berkata siasatan yang dijalankan oleh APMM dan polis itu bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“(Maklumat awal) mangsa dipercayai telah melakukan selaman secara solo atau bersendirian tanpa ‘dive buddy’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya kes disiasat menurut Seksyen 280 Kanun Keseksaan dan Seksyen 474 (1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu beroperasi tanpa lesen bot yang sah serta Peraturan-peraturan Bot 1953.

Mayat Chong Su Sian, 31, ditemukan pada Khamis kira-kira 16.4 batu nautika di utara Tanjung Po di sini selepas wanita itu dilaporkan hilang pada Sabtu ketika melakukan aktiviti selaman di Pulau Satang Besar.

Sementara itu, Yousry mengingatkan mereka yang ingin menjalankan aktiviti selaman agar memastikan bot yang digunakan layak menjalankan aktiviti tersebut selain memilih pusat menyelam yang bertauliah dan berwibawa.

“Penyelam juga dinasihatkan agar tidak melakukan selaman secara bersendirian tanpa kehadiran Dive Guide bertauliah yang berpengalaman di kawasan selaman,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu