Nation
346

Masa untuk terus bekerja pulihkan negara : PM

Kuala Lumpur – Barisan jemaah menteri yang diumumkan hari ini membuktikan keseriusan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mengekalkan kestabilan, memulihkan ekonomi dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya.

Kabinet kerajaan baharu ini memaparkan barisan yang mantap kerana ia dianggotai oleh menteri yang berpengalaman dalam pengurusan memerangi pandemik COVID-19 dan mereka yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Ini secara langsung memenuhi perancangan Ismail Sabri yang inginkan sebuah Kabinet menteri yang boleh bertindak pantas dan bersepadu dalam membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik COVID-19 dan kegawatan ekonomi.

Keanggotaan Khairy Jamaluddin (Menteri Kesihatan) dan Datuk Seri Dr Adham Baba yang bertukar portfolio Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam Kabinet akan memastikan kesinambungan Program Imuninasi COVID-19 Kebangsaan yang bermatlamat mencapai imunisasi kelompok 80 peratus sebelum akhir tahun.

Program imunisasi ini semakin hari menunjukkan kejayaan dengan bilangan mereka yang menerima vaksin semakin meningkat sehingga hari ini sahaja 60.2 peratus daripada populasi dewasa sudah mendapat vaksinasi lengkap dua dos.

Seharusnya tidak ada pihak yang mempertikaikan Kabinet baharu ini yang nekad semata-mata untuk membantu rakyat keluar daripada pandemik COVID-19 menerusi usaha-usaha yang sudah dan akan dilaksanakan nanti.

Malah seperti yang dimaklumkan oleh Ismail Sabri, umum seharusnya memahami dan menerima Kabinet ini yang merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa yang amat mencabar yang memerlukan kerjasama semua pihak lebih-lebih lagi dalam keadaan politik kembali tenang.

Ketika mengumumkan barisan Kabinetnya yang terdiri daripada 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri, perdana menteri menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi anggota jemaah menteri supaya membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan.

Selain itu, beliau memberi penekanan kepada budaya kerja berprestasi tinggi degan setiap kementerian membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.

Ini menunjukkan betapa beliau mengambil berat terhadap prestasi kementerian-kementerian yang harus menunjukkan komitmen dan tanggungjawab kepada rakyat yang sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada kerajaan dibawah kepimpinan Ismail Sabri.

Perdana menteri juga membayangkan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat berlandaskan tugas kepada tiga prinsip iaitu peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah serta mengembalikan semula keyakinan rakyat.

Ingatan beliau yang mengambil berat dan pentingkan soal kekeluargaan ini mencerminkan keperibadian beliau yang berlatarbelakangkan sebuah keluarga yang pentingkan hubungan yang erat, mesra dan bahagia.

Dalam keadaan rakyat hidup dalam keadaan tertekan akibat kehilangan pekerjaan dan ada yang kehilangan mereka yang tersayang akibat pandemik ini, Kabinet baharu ini akan terus bergerak untuk membawa kembali kebahagiaan hidup yang diidam-idamkan oleh rakyat.

Barisan Kabinet ini yang diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.

Dan ini yang ingin dicapai oleh Kabinet Ismail Sabri tanpa mengabaikan hala tuju Pelan Pemulihan Negara yang beliau sendiri turut berperanan dalam pengubalannya yang bermatlamat membantu rakyat untuk keluar daripada pandemik COVID-19 dan kembali hidup sejahtera.

Masalah politik yang melanda negara sebelum ini sudah berakhir, kini semua pihak harus menggembleng tenaga dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan negara ini dapat keluar dengan selamat daripada pandemik COVID-19, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu