Nation
1K

Masri Razali dilantik Datuk Bandar MBS yang baharu

Seremban – Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (Pengurusan) Datuk Masri Razali dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dalam kenyataan hari ini berkata Masri menggantikan Datuk Zazali Salehudin yang bersara wajib daripada perkhidmatan awam.

“Penyerahan tugas dan proses mengangkat sumpah telah berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti ketetapan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Masri yang merupakan lulusan Sarjana (Pentadbiran Perniagaan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada 1997 sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.

Beliau seterusnya dilantik sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada tahun sama serta pernah berkhidmat di Kementerian Dalam Negeri, Institut Tadbiran Awam Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.

Aminuddin berkata kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan kepada Zazali atas perkhidmatan beliau sebagai Datuk Bandar MBS sejak 1 Jan tahun lepas.

“Semasa perkhidmatan beliau, Seremban telah berjaya dinaikkan taraf sebagai sebuah bandar raya dan buat pertama kalinya, dua Pihak Berkuasa Tempatan telah digabungkan untuk membentuk Majlis Bandaraya Seremban,” katanya, lapor Bernama.

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu