Nation
166

Mat Sabu tiba di Istana Negara

Kuala Lumpur – Siri pertemuan pemimpin-pemimpin parti politik di Istana Negara hari ini diakhiri dengan kehadiran Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu yang tiba di pekarangan Pintu 2 pada pukul 3 petang.

Beliau dilihat tiba bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sambil diiringi pemandu dengan menaiki kenderaan jenis Honda CRV warna putih.

Sebelum itu, sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire tiba di Istana Negara pada pukul 2 petang membawa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang diiringi Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang juga Ahli Parlimen Kota Raja adalah pemimpin keempat dipanggil menghadap selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi yang pertama tiba pada pukul 7.49 pagi melalui pintu utama.

Kemudian, tumpuan seramai 30 petugas media beralih ke pintu 2 bagi melihat kehadiran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pukul 10.36 pagi.

Sementara itu, pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dijemput menghadap Seri Paduka pada esok (10 Jun). Masing-masing dijadual bertemu Yang di-Pertuan Agong pada pukul 2.30 dan 3.30 petang.

Pemimpin UMNO pula dikatakan menjadi parti terakhir dipanggil pada Jumaat ini (11 Jun).

Bagaimanapun, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) tidak dimaklumkan tarikh jemputannya selepas mendapat jemputan pada 4 Jun lalu.

Sebelum ini, tular berita mengenai jemputan daripada Istana Negara kepada pemimpin-pemimpin politik untuk menghadap Seri Paduka. Siri pertemuan itu dilapor berlangsung bermula hari ini sehingga 11 Jun. — Utusan Online

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu