Social
259

Mati akibat sakit jantung, bukan kerana varian baharu Covid-19

Johor Bahru – Seorang lelaki yang videonya tular di media sosial sejak semalam kononnya kematiannya itu berkaitan varian baharu COVID-19, disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata bedah siasat ke atas lelaki berusia 40an itu telah dijalankan di Hospital Kulai, kira-kira pukul 9.00 pagi, Jumaat lepas setelah keputusan ujian saringan mendapati dia negatif COVID-19.

Beliau berkata keputusan bedah siasat tidak menemukan sebarang kecederaan fizikal terhadapnya dan pegawai perubatan mengesahkan punca kematiannya akibat ateroma koronari atau serangan jantung.

Katanya sehubungan itu, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati dalam menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya supaya tidak menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat.

“Polis menerima maklumat mengenai perkara itu pada kira-kira pukul 4.20 petang, Khamis lepas apabila orang awam memaklumkan terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri di dalam kereta di kawasan tempat letak kenderaan di Kawasan Perindustrian Senai II, di Kulai.

“Susulan maklumat itu polis dan petugas hospital telah bergegas ke tempat kejadian, namun lelaki itu didapati telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Tok, siasatan awal turut mendapati cermin kereta itu di bahagian belakang kanan dipecahkan orang awam yang cuba memberikan bantuan selepas menyedari dia tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu.

Sejak semalam, tular dalam laman media sosial sebuah video berdurasi 32 saat menunjukkan beberapa individu berpakaian lengkap alat perlindungan peribadi (PPE) sedang berusaha menguruskan seorang individu terbaring di tepi jalan berdekatan tempat meletak kenderaan.

Maklumat yang dikongsi bersama video terbabit mendakwa mangsa positif varian baharu COVID-19.

Terdahulu, perkara itu dinafikan Pengarah Kesihatan Johor Datuk Dr Aman Rabu, yang turut mengesahkan tiada kes membabitkan varian baharu COVID-19 dikesan di Johor setakat ini. – Bernama

Tags: , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu