Social
440

Maut dihempap pokok

George Town – Pekerja membaik pulih kenderaan maut dihempap pokok dalam kejadian di Jalan Perak, Jelutong, di sini, hari ini.

Mangsa dikenal pasti sebagai Yong Geeng Huei, 53, dari Taman Seri Angsana, Bayan Lepas disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak Aazelan Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.38 pagi.

Pihaknya berdepan dengan kesukaran bagi ke tempat kejadian, berikutan kesesakan lalu lintas walaupun ia terletak kurang dua kilometer dari balai bomba.

“Ketika di lokasi, didapati pokok dengan ukur lilit kira-kira dua meter tumbang merentangi jalan raya dan menghempap kereta jenis Proton Wira.

“Mangsa yang dihempap pokok itu ditemukan tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya lagi.

Menurut A’azelan lagi, pihaknya mengambil masa selama dua jam bagi kerja memotong pokok dan mengeluarkan mayat mangsa.

“Kerja menyelamat turut dibantu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) terdekat.

“Mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi urusan bedah siasat,” katanya ketika ditemui, di sini.

Sementara itu abang mangsa yang mahu dikenali sebagai Yong, 55, berkata, ketika kejadian, adiknya mahu ke tempat kerja.

“Dia bekerja sebagai pembalik pulih kenderaan di sini, tidak sangka dia terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Operasi tamat pada jam 11.15 pagi. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu