Social
129

Maut dipanah petir

Dungun – Seorang warga emas ditemui meninggal dunia dengan kesan luka di bahagian kiri kepala dan kesan terbakar pada rambut, dipercayai disambar petir di kebun buah-buahan miliknya di Kampung Kuala Jengai di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata, mangsa Abd Wahab Talib, 63, ditemui di bawah tempat berteduh yang ditutup dengan atap zink, dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh anak perempuannya Nur Eliesya Bathrieysya kira-kira pukul 4 petang semalam.

“Sebelum kejadian mangsa dikatakan telah keluar ke kebun miliknya selepas solat Zohor dan kira-kira pukul 4 petang, anak perempuan mangsa berasa tidak sedap hati sebelum pergi mencari mangsa di kebun.

“Nur Eliesya yang melihat bapanya tidak sedarkan diri cuba mengejutkan bapanya, namun tidak mendapat sebarang tindak balas dan dipercayai telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini.

Baharudin berkata hasil siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang kesan kebakaran dan tiada unsur jenayah.

Tambah beliau lagi mayat mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu