Social
139
0

Maut tertembak diri sendiri

Kanowit – Seorang lelaki maut selepas dipercayai tertembak diri sendiri menggunakan senapang patah ketika memburu di kawasan Hutan Latong, Machan, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam ketika mangsa berusia 30 tahun keluar memburu bersama tiga lagi rakannya.

Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintendan Tega Bilong, berkata siasatan awal mendapati sejurus tiba di lokasi mangsa yang membawa senapang patah berjalan di hadapan diekori rakannya di belakang.

“Selepas beberapa minit memasuki hutan, secara tiba-tiba rakan mangsa terdengar bunyi letupan senjata api dari arah mangsa pada jarak kira-kira 10 meter di hadapan.

“Mereka kemudian mendapati mangsa berada dalam keadaan berlumuran dengan kesan tembakan di bahagian perut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kanowit untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di wad kecemasan kira-kira jam 11.15 malam.

“Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu