Kuala Lumpur Post

Social

Mayat berulat ditemui dalam kereta

IPOH — Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan mereput dalam sebuah kereta yang diletakkan di premis menjual kereta terpakai di Pasir Puteh, di sini, hari Jumaat.

Mayat tanpa identiti itu ditemukan terbaring di tempat duduk belakang sebuah Proton Wira warna hitam bernombor pendaftaran WJG 7903, dalam keadaan pintu berkunci dari dalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian jam 11.51 pagi.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut bagaimanapun mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

“Mayat dijumpai dalam keadaan lengkap berpakaian, membusuk dan berulat.

“Tiada butiran lanjut mengenai si mati diperoleh seperti nama, pengenalan, bangsa, umur, dan pekerjaannya melainkan mayat itu dikenal pasti sebagai lelaki,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pemeriksaan badan terhadap si mati juga tidak dapat dilakukan memandangkan keadaannya yang sudah bertukar hitam dan berulat.

Katanya, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini untuk pengesahan identiti termasuk mendapatkan cap jari, dengan proses bedah siasat akan dilakukan Isnin.

Yahaya berkata, kes setakat ini diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

Tags: , ,