Social
163
0

Mayat disembunyi dalam longkang

Bukit Mertajam – Pekerja kilang warga Bangladesh dipercayai dibunuh rakan senegara sebelum mayat disembunyikan dalam longkang yang bertutup simen di sebuah kilang di Taman Perindustrian Beringin, Juru, Simpang Ampat, dekat sini.

Difahamkan mangsa, Mohammad Rajib Mia, 29, yang bekerja di kilang berkenaan hilang pada 15 Januari lalu namun tiada laporan polis dibuat.

Bagaimanapun, pengurus jualan kilang berusia 38 tahun menjumpai mayat itu pada jam 1.30 tengah hari semalam selepas ternampak ulat serta terhidu bau busuk dari longkang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pengurus jualan itu terus menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

“Mayat ditemui dalam keadaan mereput dan disembunyikan di dalam longkang serta ditutup dengan penutup longkang jenis simen.

“Terdapat sebilah pisau, tukul besi dan sebatang besi dengan terdapat kesan darah ditemui pada jarak kira-kira dua meter dari mayat.

“Penilaian awal patologi mendapati ada kecederaan pada kepala mangsa disebabkan dipukul dengan objek tumpul selain terdapat kesan darah di tingkat atas premis yang dijadikan pejabat dan penginapan pekerja,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, pengurus jualan kilang itu memaklumkan bahawa premis berkenaan mempunyai dua pekerja warga Bangladesh termasuk mangsa.

“Berikutan itu, polis menahan seorang pekerja warga Bangladesh berusia 21 tahun untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan awal, dia mengaku membunuh rakan senegaranya itu secara berseorangan dengan menggunakan sebatang besi,” katanya.

Shafee berkata, bagaimanapun motif pembunuhan itu masih dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Harian Metro

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu