Social
425

Mayat kanak-kanak lelaki dibaham buaya ditemui

Lahad Datu – Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dilaporkan hilang dalam kejadian serangan buaya di sungai Kampung Bakau Lama, di sini, semalam, ditemui hari ini.

Mayat mangsa dijumpai penduduk kampung pada jam 6.41 pagi tadi, dalam keadaan terapung kira-kira 700 meter dari lokasi insiden di sungai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata terdapat kesan gigitan di kaki mangsa dipercayai akibat dibaham reptilia ganas itu.

“Bagaimanapun, mayat mangsa masih berada dalam keadaan sempurna,” katanya kepada BH, hari ini.

Dalam insiden semalam, beliau berkata, kanak-kanak itu dilaporkan diserang buaya ketika sedang mencari udang untuk dijadikan umpan memancing, bersama dua rakan.

“Rumah mangsa terletak di atas air. Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang menangkap udang di bawah rumahnya sebelum tiba-tiba diserang seekor buaya.

“Mangsa dikatakan dapat melepaskan diri pada mulanya. Namun ketika masih berada dalam sungai dan berusaha menyelamatkan diri, mangsa dilaporkan diserang sekali lagi sebelum ditarik ke dalam sungai lalu hilang,” katanya.

Susulan itu, Sumsoa berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan dan disambung semula bersama penduduk kampung kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor BH Online.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu