Kuala Lumpur Post

Social

Mayat lelaki ditemui tertiarap dalam longkang

KOTA BHARU — Mayat seorang lelaki ditemukan tertiarap dalam longkang sedalam satu meter di tepi jalan Kampung Seribong di sini, hari ini.

Mayat lelaki yang berpakaian lengkap itu ditemui dua pekerja syarikat penyelenggaraan jalan kira-kira jam 11.30 pagi tadi ketika menjalankan kerja memotong rumput.

Pekerja, Muhamad Musaha, 35, berkata sebaik ternampak jasad lelaki terbabit, dia segera memanggil rakannya yang berada tidak jauh untuk meninjau sama.

“Kami memerhati beberapa ketika jasad lelaki itu kerana menyangkakan dia hanya pengsan, namun langsung tidak bergerak sebelum kami segera menghubungi pihak berkuasa.

“Mayat itu berkaki ayam dan kedua kaki serta tangannya kekuningan dan kecut, sedangkan dalam longkang tidak ada air,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Muhamad berkata, dia dan tiga rakan sekerja turut berada di sekitar lokasi kerana menjalankan kerja pemotongan rumput sejak jam 8.30 pagi tadi.

Muhamad berkata, susulan penemuan mayat itu, mereka tidak mampu meneruskan kerja kerana masih terkejut berikutan terbayang-bayang keadaan mayat mangsa.

“Sepanjang kerja lebih setahun, ini kali pertama berhadapan situasi sebegini. Majikan juga sudah diberitahu malah kami dibenarkan pulang lebih awal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat lelaki itu.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HTPZ II), di sini untuk proses bedah siasat bagi mengenalpasti identiti.