Kuala Lumpur Post

Social

Mayat lelaki Singapura dikhuatiri lemas ditemui

KOTA TINGGI — Lelaki warga Singapura yang dikhuatiri lemas di Pantai The Westin Desaru Coast, Desaru di sini, semalam ditemukan maut, awal pagi tadi.

Mayat lelaki berusia 49 tahun itu ditemukan oleh orang awam kira-kira 5.30 pagi tadi, pada jarak lima kilometer (km) dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Komander Operasi Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Masri Ibrahim berkata, operasi pencarian dilakukan dalam radius satu km di kawasan kiri dan kanan dari lokasi kejadian.

“Mangsa dijumpai oleh orang awam di kawasan pantai One and Only Desaru Coast iaitu lima km dari lokasi mangsa dipercayai hilang.

“PKO (pasukan keluaran operasi) bertindak ke lokasi mangsa ditemukan dan menyerahkan mangsa kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki warga Singapura dikhuatiri lemas selepas dipukul ombak ketika beriadah di pantai berkenaan bersama anaknya.

Dilaporkan, anak lelaki mangsa berusia 16 tahun yang dikatakan turut hanyut dipukul ombak, bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kemudian ditamatkan pada 8.17 pagi tadi.

Tags: , , ,