Social
385

Mayat rentung ditemui dalam kereta terbakar

Klang – Satu mayat ditemui dalam keadaan rentung di dalam sebuah kereta yang terbakar di ladang kelapa sawit di Kampung Perepat, di sini pagi tadi.

Mayat yang belum diketahui identitinya itu ditemui pukul 10 pagi oleh orang awam sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, sepasukan anggota bersama Unit Anjing Pengesan (K9) serta Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dihantar ke lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati mayat dengan kesan 90 peratus terbakar berada di tempat duduk belakang dalam kereta jenis Perodua Kancil yang hangus terbakar.

“Siasatan turut mendapati kejadian dipercayai berlaku antara dua hingga tiga hari berdasarkan ulat pada mayat itu.

“Semakan mendapati kereta tersebut adalah milik seorang wanita tempatan yang tinggal di sekitar Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, pemilik kenderaan terbabit menyatakan kereta itu dipandu bapanya yang telah keluar rumah sejak seminggu lalu.

Kata Vijaya Rao, wanita itu kemudiannya membuat laporan polis selepas bapanya tidak pulang rumah.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat diperoleh,” jelasnya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu