Social
282

Mayat reput ditemukan di Bukit Yong disahkan wanita

Machang – Polis mengesahkan satu mayat reput dan berkecai yang ditemukan berhampiran sebuah kebun di Bukit Yong, di Pasir Puteh, Jumaat lepas adalah seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Muhammad Piah berkata hasil bedah siasat pada Ahad lepas mendapati mayat tanpa pakaian itu mengalami patah di semua tulang rusuk dan tulang tumit.

Beliau berkata bedah siasat turut mendapati wanita berkenaan meninggal dunia sejak sebulan lepas dan tidak mengalami sebarang kecederaan di bahagian kepala.

“Polis tidak menolak kemungkinan wanita itu bukan mati di tempat kejadian sebaliknya mati di kawasan lain dan mungkin hanya dibuang di kawasan itu.

“Si mati juga tidak mungkin masuk ke lokasi berkenaan secara berseorangan dan mungkin ada kawan berdua atau bertiga kerana jarak lokasi dari laluan utama mengambil masa 45 minit selain laluan itu agak teruk,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata pada awalnya polis hanya membuka kertas siasatan penemuan mayat itu sebagai mati mengejut namun selepas mendapat laporan bedah siasat pada 4 Julai lalu, pihaknya telah menukar siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Beliau berkata sehingga kini, pihaknya belum mengenalpasti identiti wanita berketinggian 160 sentimeter itu sekali gus meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil membuat laporan polis.

“Setakat ini pihak kami hanya menerima satu laporan kehilangan seorang wanita yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun pada 16 Jun lepas di Balai Polis Ketereh.

“Laporan itu dibuat oleh bapa saudara mangsa dan kita sudah mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa yang hilang dengan mayat wanita berkenaan dengan keputusan ujian dijangka diketahui dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan satu mayat reput dan berkecai yang belum diketahui jantina dijumpai oleh penduduk kampung berhampiran sebuah kebun di Bukit Yong.

Berdasarkan laporan, penduduk terhidu bau busuk ketika melalui jalan ke kebun di lokasi tersebut sebelum bertindak mencari punca bau itu lalu menemukan mayat yang sudah reput dan berkecai kira-kira 6.30 petang, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu