Social
462

Mayat terbakar ditemui di tepi jalan

Kuala Nerus – Mayat tanpa identiti ditemui terbakar di tepi jalan di Kampung Padang Air, di sini, hari ini.

Kejadian disedari seorang tukang sapu ketika mahu memulakan tugasnya di lokasi berkenaan kira-kira 7.15 pagi sebelum ternampak asap di dalam semak berhampiran.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati sebahagian besar anggota badan mangsa sudah terbakar kecuali betis kaki kanan.

“Siasatan awal kita percaya bahawa mangsa mati di tempat lain dan dibawa ke sini (lokasi kejadian).

“Kita tidak menjumpai apa-apa dokumen pengenalan diri pada mangsa dan sedang mengenal pasti jantina serta identitinya.

“Pihak polis menyeru orang awam membuat laporan polis sekiranya terdapat ahli keluarga mereka yang hilang atau tidak balik ke rumah dalam tempoh melebihi 24 jam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis sedang menunggu hasil laporan bedah siasat,” katanya. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu