SHAH ALAM — Mayat wanita dijumpai terapung di dalam longkang besar berhampiran Perumahan Dillenia, Seksyen U11, Bukit Bandaraya, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihak polis menerima maklumat berhubung penemuan itu daripada orang awam pada jam 6.30 petang, lapor BH Online.
“Hasil siasatan awal mendapati mayat itu adalah seorang wanita namun identitinya belum dapat dikenal pasti.
“Siasatan juga mendapati, keadaan mayat ketika dijumpai hanya berpakaian baju dan seluar dalam serta sudah berulat.
“Pemeriksaan oleh pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor ke atas mayat berkenaan tiada kesan pergelutan atau lain-lain kecederaan yang boleh menyebabkan kematiannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Iqbal berkata, mayat dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam bagi proses bedah siasat pada hari ini bagi mengenal pasti punca kematian.
“Siasatan diklasifikasikan kes mati mengejut.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Izzman Mohd Idrus di talian 013-4003355,” katanya.