Nation
842

MB Kedah nafi banjir di Gunung Jerai berpunca daripada pembalakan

Alor Setar – Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan yang tular di laman sosial, mengatakan bahawa banjir melibatkan beberapa kawasan kampung dan taman perumahan di kawasan Gunung Jerai di Yan disebabkan aktiviti pembalakan.

Beliau berkata kejadian banjir itu sebaliknya disebabkan oleh fenomena kepala air, yang berlaku di kawasan puncak Gunung Jerai.

“Laporan pertama diterima sekitar 5.30 petang tadi. Banjir berpunca daripada hujan lebat yang berterusan di kawasan Gunung Jerai, dan air mengalir laju turun ke kaki gunung melibatkan Sungai Kunyit, Sungai Teroi dan Sungai Puteri Mandi.

“Tiada aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Jerai, kerana kawasan berkenaan diwartakan sebagai Hutan Perlindungan,” katanya melalui aplikasi Whatsapp selepas hadir taklimat khas mengenai bencana itu di Pejabat Daerah Yan, malam tadi.

Katanya antara lokasi terlibat ialah kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.

Muhammad Sanusi berkata, jumlah sebenar penduduk yang terlibat bencana itu masih dalam siasatan dan setakat ini maklumat awal diterima adalah sebanyak 60 orang, yang perlu dipindahkan segera.

Beliau berkata, semua penduduk terlibat akan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan dan Sekolah Kebangsaan Teroi.

Katanya mereka yang akan dipindahkan ke pusat pemulihan akan dibahagi kepada tiga kategori iaitu positif (COVID-19), kuarantin dan kategori biasa.

Sementara itu mengenai mangsa yang terkorban atau cedera, katanya setakat ini hanya satu mayat lelaki berumur 60 tahun sudah ditemui, namun identiti belum dikenal pasti.

Menurutnya lagi di kawasan Gunung Jerai, dua mangsa sudah dijumpai dan seorang lagi masih hilang, manakala di chalet Salak Denai di Yan seorang masih hilang.

Beliau berkata, bilik gerakan telah diaktifkan dan boleh dihubungi melalui talian 04-702 8799, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu