Nation
583

MB Selangor cadang kekal penutupan sektor ekonomi, industri

Shah Alam – Kerajaan negeri Selangor mencadangkan penutupan sektor ekonomi dan industri yang telah ditetapkan sehingga tamat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, cadangan itu disyorkan beliau dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam untuk dipertimbangkan dan dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Ini berikutan matlamat pelaksanaan PKPD bagi memutuskan rantaian wabak serta mengurangkan beban kepada sistem kesihatan negara masih belum dicapai.

“Oleh itu, hanya sektor ekonomi yang benar-benar perlu sahaja dibuka bagi pertimbangan MKN,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya.

Amirudin turut menjelaskan cadangan agar vaksinasi pekerja dipercepatkan dan kadar vaksinasi ditentukan sebagai antara faktor pembukaan sektor ekonomi.

Beliau menegaskan jumlah kes yang tinggi di Selangor antaranya akibat saringan menyeluruh di kawasan PKPD yang menyumbang kepada kes kumulatif berjumlah 1,346 kes serta saringan kontak rapat daripada kes positif di PKPD.

Semalam, Selangor terus merekodkan 4,152 kes harian positif Covid-19 di negara ini.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan memaklumkan lebih banyak sektor dibenarkan beroperasi di kawasan yang dikenakan PKPD di Selangor bermula Rabu lalu.

Sektor yang dibenarkan adalah sektor elektrik dan elektronik serta rantaiannya; sektor aeroangkasa (penyelenggaraan, pembaikan dan pemulihan); sektor mesin dan peralatan yang khusus kepada pengeluaran produk kesihatan dan makanan; dan syarikat pembuatan makanan dan minuman utama.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu