Kuala Lumpur Post

Social

MBPP siasat kematian 29 anjing diracun

GEORGETOWN — Sebanyak 29 anjing mati di kawasan perumahan Island Glades di sini, dipercayai termakan makanan yang ditabur dengan racun oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam hantaran di Facebook berkata, pihaknya memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan pelaku terbabit yang menyebabkan kematian haiwan itu.

Katanya, susulan itu Ahli Majlis MBPP bersama pegawai sudah turun padang menemui penduduk sekitar semalam bagi mendapat gambaran keadaan sebenar yang berlaku terhadap anjing malang berkenaan.

“Bagi membantu siasatan, MBPP akan beri khidmat sokongan serta kerjasama penuh mengesan dan menyalurkan maklumat kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang sehingga si pelaku berjaya didakwa berpandukan undang-undang.

“Sebagai langkah pencegahan supaya perbuatan itu tidak berulang, MBPP sudah mengenal pasti beberapa lokasi strategik bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau gerak geri individu yang mencurigakan,” katanya.

Jika disabitkan kesalahan, terdapat Akta 772 yang memperuntukkan beberapa seksyen khusus bagi kesalahan iaitu Seksyen 29 bagi penganiayaan haiwan, Seksyen 30 (pembunuhan haiwan) dan Seksyen 31 (pemberian racun), boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 dan penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut kenyataan itu lagi, Pengurus International Aid for the Protection and Welfare of Animals (IAPWA) Pulau Pinang, Choong Koon Yean, turut mengumumkan ganjaran sebanyak RM5,000 kepada mana-mana individu yang tampil menyalurkan maklumat tepat berhubung insiden itu bagi tindakan undang-undang.

“Orang awam boleh menyalurkan maklumat atau aduan berhubung tindakan kejam dan penganiayaan terhadap haiwan, termasuk anjing atau kucing di seluruh kawasan bahagian pulau negeri ini menerusi saluran aduan rasmi MBPP,” katanya lagi, lapor BH Online.

Saluran rasmi itu ialah Hotline MBPP 04-263 7000 dan menerusi Aplikasi Whatsapp Aduan MBPP di talian 016-200 4082.

Tags: , , ,