Nation
181

MCMC diarah kaji tindakan lebih proaktif kandungan hina agama, kaum dan Raja

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarahkan untuk melihat semula prosedur operasi standard mereka untuk mengkaji tindakan lebih proaktif yang boleh diambil terhadap pihak yang memuat naik kandungan berunsur penghinaan terhadap agama, kaum dan majlis raja-raja dalam media sosial.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata beliau difahamkan buat masa ini perkara itu sedang dirujuk MCMC kepada pihak Jabatan Peguam Negara.

“Ini untuk membolehkan penafsiran yang lebih jelas di bawah perundangan sedia ada yang dirasakan tindakan lebih tegas dan pantas tanpa kompromi boleh dilakukan terhadap penghinaan agama Islam dan agama-agama lain,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang ingin tahu langkah strategik diambil MCMC bagi menangani isu penghinaan terhadap agama Islam yang masih berleluasa dalam media sosial.

Annuar berkata selain itu, MCMC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui mesyuarat jawatankuasa induk menzahirkan komitmen masing-masing bagi mengukuhkan jalinan kerjasama dalam membanteras jenayah dan melindungi pengguna Internet dalam negara.

“Melalui pengukuhan kerjasama ini, proses pemantapan interoperability bersama Police Cyber Investigation Response Centre di bawah PDRM juga telah dimulakan bagi memudahkan koordinasi dan penyelarasan dalam mengenal pasti kandungan yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Wan Hassan sama ada kekurangan tenaga kerja menyebabkan kurangnya pemantauan kandungan sedemikian dalam media sosial, Annuar menafikan kenyataan itu.

“Tetapi ia adalah soal berkaitan bagaimana media sosial dikendalikan misalnya oleh penyedia-penyedia perkhidmatan yang berpangkalan di luar negara dan mereka yang mempunyai hak menurunkan hantaran berbaur penghinaan.

“Sementara itu, kita tertakluk kepada proses perundangan tertentu kerana pelanggaran itu, kebanyakannya bila ia bercanggah dengan mana-mana peruntukan di bawah Kanun Keseksaan atau Akta Hasutan, maka proses penyiasatan dan proses lain perlu dilakukan, jadi proses ini yang biasanya mengambil masa panjang,” katanya.

Mengenai soalan tambahan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) sama ada kerajaan sedia mempertimbangkan dengan serius untuk mewujudkan Akta Keharmonian Nasional, Annuar berkata undang-undang baharu bukan jawapan kepada isu keharmonian rakyat.

Dalam isu itu jelasnya, advokasi dan usaha berterusan untuk mendorong dan menggalakkan rakyat supaya mengamalkan sikap dan nilai bersesuaian dengan sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum, agama dan adat resam adalah lebih penting.

“Budaya ini sudah kukuh terpahat dalam negara, cuma langkah berterusan adalah untuk menerapkan dan mengukuhkan lagi nilai-nilai saling hormat-menghormati atas kepelbagaian dan tidak membangkitkan perkara-perkara perkauman, menyentuh soal-soal kedudukan raja-raja, agama dan sebagainya,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu